Malaysia ketengahkan nasib rakyat Palestin pada Perhimpunan IPU

Kepulan asap kelihatan akibat serangan bedilan rejim Israel ke atas penempatan penduduk di Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Kepulan asap kelihatan akibat serangan bedilan rejim Israel ke atas penempatan penduduk di Semenanjung Gaza. - Foto AFP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia yang menyertai Perhimpunan Kesatuan Antara Parlimen (IPU) kali ke-147 di Angola, mencadangkan resolusi mengenai nasib rakyat Palestin dan konflik berterusan Palestin-Israel.

Delegasi Malaysia ke perhimpunan yang berlangsung di Luanda, ibu negara Angola dari 23 hingga 27 Oktober itu diketuai Datuk Seri Zurainah Musa.

Turut sama ialah Anggota Parlimen (MP) Bayan Baru Sim Tze Tzin; MP Jerlun, Dr Abd Ghani Ahmad dan Pemangku Pesuruhjaya Tinggi ke Namibia, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya.

Resolusi bertajuk "Multifaceted Approach to the Question of Palestine: Parliamentary diplomacy and Sustainable Development Goal (SDG) 16" antara lain menggesa gencatan senjata dan menamatkan keganasan, menurut kenyataan setiausaha kepada Delegasi Parlimen Malaysia, Nurul Fadhilah Ibharim.

Empat draf resolusi dibentangkan pada perhimpunan itu, termasuk konflik di Gaza - menghentikan perang dan pelanggaran hak asasi manusia di Gaza oleh Algeria, Kuwait (yang mewakili Liga Arab) bersama Iran, Indonesia dan Afrika Selatan, serta draf resolusi Kanada.

Draf resolusi keempat membabitkan Islamofobia oleh Pakistan. Bagaimanapun, Malaysia dan Pakistan menarik resolusi masing-masing bagi memberi laluan kepada resolusi yang dikemukakan oleh Liga Arab. Resolusi yang dicadangkan memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga undi sebelum diputuskan sebagai 'emergency item'.

Selepas undian, resolusi oleh Liga Arab dan Kanada gagal memperoleh undi yang mencukupi, sekali gus tidak diterima pakai.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan corak pengundian menyaksikan negara anggota terbahagi kepada dua iaitu Barat dan Timur. Lebih 5,795 rakyat Palestin terbunuh dan 18,000 lagi cedera akibat serangan rejim Israel di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat sejak 7 Oktober.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Zurainah ketika menyampaikan kenyataannya, beliau menggesa semua MP mengetepikan perbezaan dan bekerjasama untuk menghentikan malapetaka kemanusiaan di Gaza.

Beliau turut mencadangkan penubuhan Jawatankuasa IPU yang khusus untuk memantau rapat situasi berkenaan dan menyediakan laporan berkala.

"Kita tidak seharusnya bersikap berat sebelah dan tidak adil apabila bercakap mengenai isu mempertahankan diri.

Draf resolusi kami menggambarkan keperluan masyarakat antarabangsa untuk bersatu memerangi pencerobohan dan jenayah terhadap kemanusiaan.

"Resolusi kami seimbang dan adil - untuk mencapai keamanan berkekalan dan menamatkan konflik kami mencadangkan penyelesaian dua negara antara Palestine dan Israel, dengan Al Quds sebagai ibu negara Palestin yang merdeka...,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!