Ramona Zamzam ada sebab lebih terkesan perang di Palestin

Ramona bersama suami, anak dan ibu bapa mentuanya.
Ramona bersama suami, anak dan ibu bapa mentuanya.
A
A
A

SERANGAN kejam Israel terhadap Palestin ketika ini mengundang pelbagai pandangan dan emosi daripada penduduk di seluruh dunia.

Biarpun seluruh masyarakat Islam sudah bersuara tetapi Israel sengaja membutakan mata dan memekakkan telinga demi ‘menghalalkan‘ perbuatan mereka.

Jika kita sebagai rakyat biasa sangat tersentuh melihat penderitaan yang dilalui rakyat Palestin, pelakon dan model, Ramona Zamzam punya sebab untuk lebih terkesan.

Sebagai isteri kepada warga Palestin, Ramona mengetahui lebih mendalam pelbagai cerita tentang negara itu.

Kata selebriti tersebut, dia kagum melihat ketabahan dan kekuatan ibu bapa mentuanya yang kini sudah setahun tinggal bersama.

“Mereka sudah hidup berpindah randah ke 26 buah negara selepas berkahwin. Walaupun sudah lama tidak tinggal di Palestin tetapi kedua-duanya pernah melalui pengalaman pahit menjadi mangsa kekejaman Israel.

“Apatah lagi, mereka masih ada saudara di sana dan sudah terputus hubungan sejak perang melanda.

"Justeru, ia tetap memberi kesan walaupun melihat kekejaman, kemusnahan dan kesengsaraan rakyat Palestin melalui kaca televisyen,“ ujarnya kepada SinarPlus.

Artikel Berkaitan:

Ramona, 33, yang pertama kali berjumpa ibu dan bapa mentuanya tahun lalu selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga mengakui sudah banyak mendengar kisah tentang kekejaman Israel termasuk yang dilalui sendiri oleh keluarga suaminya, Rami Alashkar.

“35 tahun lalu, mak dan bapa mentua saya pernah melalui pengalaman hampir serupa apabila Israel beri arahan untuk tinggalkan kediaman.

“Mereka terpaksa berjalan, menumpang kereta orang untuk ke sempadan Mesir. Disebabkan mak mentua saya sarat hamil suami saya ketika itu, kerajaan Mesir beri kebenaran buatnya melahirkan anak di negara tersebut.

“Ada banyak lagi cerita lain sehinggakan saya rasa nak bukukan kisah mereka untuk tatapan rakyat Malaysia,“ kata bekas peserta Dewi Remaja 2009/2010 itu lagi.

Tambah Ramona, rakyat Malaysia harus bersyukur kerana hidup dalam keadaan aman dan damai serta mempunyai peluang memiliki rumah sendiri tetapi tidak untuk rakyat Palestin.

“Mereka di sana ada dua pilihan, tinggal di negara itu dalam ketakutan dan kemungkinan akan diserang pada bila-bila masa atau keluar dari negara mereka tanpa mengetahui berapa lama mereka diberi kebenaran untuk tinggal di sesebuah negara.

“Jadi, demi kebaikan anak-anak, mereka pilih untuk berpindah dan semua adik-beradik Rami berkahwin dengan orang luar.

"Itu yang disukai Israel kerana jika ada rakyat Palestin berkahwin dengan orang luar, maka populasi masyarakat di sana semakin berkurangan,“ ungkapnya yang kagum melihat kekuatan tertanam dalam keluarga mentua.

Bersatu

Dalam pada itu, mengulas tindakan segelintir selebriti dan pempengaruh media sosial yang enggan bersuara isu Palestin-Israel, Ramona berkata, dia tidak mampu untuk mengawal serta mengubah pandangan setiap individu.

Namun, pada saat genting ini, seharusnya semua orang bersatu dan bersuara, bukan hanya kerana agama, tetapi dari sisi kemanusiaan.

“Kita hidup pada era media sosial, apa kita makan, kita buat dan mana kita pergi dikongsikan menerusi laman sosial, apa salahnya kita bersuara tentang isu Palestin.

“Ini bukan tentang agama atau hanya orang Islam yang boleh bersuara. Ini soal kemanusiaan! Tidak sedihkah kita melihat bayi dibunuh, anak kecil jadi yatim piatu sekelip mata?“ luahnya.

Ramona juga sedar, segelintir selebriti yang katanya melaungkan sokongan sekadar memenuhi kehendak netizen.

Namun, pelakon jelita itu mengingatkan rakan seangkatan bahawa rezeki bukan datang daripada media sosial.

“Saya percaya ia (rezeki) ada di mana-mana dan tidak mungkin ALLAH kejam untuk sekat rezeki kita hanya kerana kita menyokong Palestin.

“Jangan takut untuk bersuara, ini masa kita bersatu bukan hanya sebagai Muslim tetapi sebagai manusia.

“Walaupun media sosial kita dikawal oleh tangan-tangan tertentu, teruskan bersuara kerana Israel memang lebih suka bila kita buat tak tahu,“ tuturnya menutup perbualan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!