Kutuk tindakan AS sokong kekejaman Israel - Tun Mahathir
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa rakyat Malaysia untuk turut bersama-sama mengutuk kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang menyokong kekejaman Israel.
Beliau berkata, AS seolah-olah bersedia menyokong pencerobohan rejim Zionis dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan ke atas Gaza.
Menurutnya, kerajaan AS dan United Kingdom sama-sama bersalah terhadap peperangan yang berlaku antara Israel-Palestin.
“Israel bukan kuasa besar, namun ia tidak mempedulikan undang-undang atau moral antarabangsa. Kenapa?
“Ia kerana kerajaan AS ada di belakangnya. Terus terang AS meluluskan jenayah dan tindakan tidak bermoral Israel. Biden tidak pernah menyebut tentang rakyat Palestin yang telah dibunuh,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Rabu.
Pada 20 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan, Dr Mahathir mendakwa ramai pemimpin dunia tidak menghiraukan untuk memberi maklum balas atau mengecam tindakan rejim Zionis terhadap Palestin kerana mempertahankan sokongan negara-negara kuasa besar terhadap mereka.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa AS menyokong Israel adalah disebabkan orang Yahudi AS mempunyai suara besar dalam pilihan Presiden dan kerajaan.
Dalam pada itu, Dr Mahathir turut mempersoal tentang laporan individu terbunuh dalam peperangan Israel-Palestin.
Beliau berkata, berdasarkan laporan awal peperangan mendapati seramai 2,000 rakyat Palestin maut dan sebanyak 1,400 orang Israel terbunuh.
“Kini, perang telah berlangsung selama lebih daripada dua minggu. Laporan mengatakan bahawa kini lebih daripada 5,000 rakyat Palestin telah dibunuh tetapi angka kematian rakyat Israel masih sama (1,400).
“Mungkinkah selepas membunuh 1,400 orang Israel pada hari pertama, Hamas telah berhenti menembak roket ke arah Israel?
“Atau adakah angka 1,400 itu telah diolah oleh Israel untuk membenarkan percubaan pembunuhan beramai-ramai berterusan terhadap Hamas dan semua rakyat Palestin?,” soalnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!