Ulama, asatizah bantu perbetul persepsi terhadap perjuangan di Palestin
IPOH - Para ulama dan asatizah di negara ini perlu memainkan peranan meluruskan beberapa naratif masyarakat agar tidak terpedaya dengan dakyah media barat yang menzalimi umat Islam ketika isu peperangan Taufan al-Quds yang sedang berlangsung selama dua minggu ketika ini.
Pengerusi Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Datuk Zamri Hashim berkata, pencerahan perlu dilakukan kepada masyarakat yang menyalahkan Briged Izzuddin al-Qassam menyebabkan serangan bertali arus dari Israel.
Menurutnya, tiada isu bahawa Briged Izzuddin al-Qassam memulakan serangan ke atas lawan kerana hakikat penduduk Palestin telah dijajah, dirampas, dibunuh, dihalau setiap hari sepanjang 75 tahun lalu dan lebih agresif pada tahun 1948 melalui peristiwa Nakbah.
"Sebagai bangsa yang terjajah, mereka berhak untuk bangkit dan berjuang mengembalikan hak mereka, maka janganlah masyarakat terpengaruh dengan dakyah media barat yang menggambarkan Briged al Qassam yang bersalah kerana memulakan serangan.
"Masyarakat kena sedar bahawa usaha untuk melenyapkan negara Palestin dari peta dunia dan memandulkan semangat perjuangan umat Islam mengembalikan Masjid Al-Aqsa telah dirancang dan dilaksanakan secara cukup teliti serta berstrategi dengan sokongan kuasa-kuasa besar," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Zamri berkata, ada juga pihak yang menyalahkan Briged Izzuddin al-Qassam kerana melakukan serangan dalam keadaan pada anggapan mereka aset tentera dikatakan tidak setanding dengan aset musuh sehingga tindakbalas musuh menyebabkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta yang tiada taranya dalam sejarah siri peperangan merebut al Quds.
Menurutnya, langkah yang dilakukan oleh pejuang Palestin itu adalah ijtihad intervensi untuk menyelamat maruah, mengangkat fardu kifayah kepada umat Islam dalam berjihad daripada musuh bersenang lenang mencapai impian mereka untuk melenyapkan Palestin.
"Bermula dengan pendudukan British pada tahun 1917, Nakbah 1948, Deal of The Century, rundingan yang telah menghasilkan kejayaan pengiktirafan beberapa buah negara Arab terhadap Negara haram penjajah melalui proses normalisasi dan kemuncaknya ialah apabila Perdana Menteri mereka secara terbuka mengisytiharkan Rancangan baharu The New Middle East di pentas PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) adalah usaha-usaha melenyapkan Palestin dari peta dunia, melenyapkan negara Palestin itu sendiri dan menguburkan semangat perjuangan mengembalikan hak kiblat pertama kepada umat Islam.
"Sepatutnya kita berterima kasih kepada Briged Izzuddin al-Qassam dan para mujahidin yang lain sebagai wakil-wakil umat Islam seluruh dunia yang sanggup berkorban nyawa untuk mewakili kita menjaga air muka kita semua dan bukan mencelanya. Mereka adalah hero sebenar dalam jihad ini," katanya yang juga ahli Majlis Penasihat Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!