Bayi 'ajaib' terselamat dari jasad ibu yang maut dibom Israel
GAZA CITY - Seorang bayi pramatang berjaya diselamatkan dalam perut ibunya yang meninggal dunia dalam serangan udara tentera Israel di rumah mereka baru-baru ini, lapor Al-Jazeera.
Bayi lelaki sudah berusia 10 hari itu telah ditempatkan dalam inkubator unit rawatan rapi neonatal Hospital al-Shifa dengan seutas tag berwarna merah jambu diletakkan di kakinya.
Bayi yang diberi gelaran 'Son of Maryam al-Harsh' dilaporkan stabil dan kini dipantau rapi oleh doktor di hospital tersebut.
Pada 13 Oktober lalu, pihak hospital menerima panggilan dari Hospital Kamal Adwan di Gaza utara mengenai seorang wanita mengandung cedera parah dan sedang nazak selepas rumah mereka dibom.
"Berlaku serangan udara di rumah mereka, seluruh keluarga terdiri 10 orang termasuk ayah bayi ini telah meninggal dunia," kata Ketua Unit Neonatal Hospital al-Shifa, Dr Nasser Bulbul.
Tambahnya, ketika kejadian, pasukannya melakukan pembedahan caesarean terhadap ibu hamil berusia 32 minggu sebelum berjaya menarik keluar dari perut ibunya.
Kemudian, bayi yang dikesan mempunyai denyutan lemah dipindahkan ke hospital itu dan diberi bantuan pernafasan bersama 54 bayi pramatang lain.
"Dia semakin pulih dan kami sudah mengeluarkannya daripada bantuan pernafasan mekanikal selepas enam hari dan tiga hari selepas itu dia dikesan mengalami kecederaan otak akibat gangguan aliran darah semasa dilahirkan selepas kematian ibunya," kata Dr Nasser.
Setakat hari ini, tiada waris datang menuntut bayi itu dan Dr Nasser serta pasukannya mengambil alih tanggugnjawab dengan menjaganya. - Agensi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!