Ahli Parlimen sedia jadi ‘bad cops’ bantah kekejaman Israel

Wan Ahmad Fayhsal ketika dalam Wacana Sinar siri ke-418 bertajuk ‘Memenangi perang naratif di luar Gaza’ yang dihoskan oleh Azlan Shah Nabees Khan pada Rabu.
Wan Ahmad Fayhsal ketika dalam Wacana Sinar siri ke-418 bertajuk ‘Memenangi perang naratif di luar Gaza’ yang dihoskan oleh Azlan Shah Nabees Khan pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli-ahli Parlimen sedia menggalas tanggungjawab 'bad cops' dalam menyuarakan bantahan secara lantang berhubung kekejaman zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

Ketua Portfolio Hubungan Luar Negara PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, langkah itu bagi membantu kerajaan dalam menyuarakan isu tersebut dengan lebih tegas sekali gus mengurangkan risiko diplomatik terhadap Perdana Menteri.

"Saya tahu kerajaan ada kekangan-kekangan tertentu khususnya dalam menjaga hubungan diplomasi dengan negara-negara yang ada rakan dagang.

"Jadi, biarlah Parlimen menjadi juara untuk melaung dan menegaskan pendirian-pendirian yang mungkin Perdana Menteri sukar untuk cakap.

"Ini tujuan kami, (Ahli Parlimen Ledang) Syed Ibrahim Syed Noh, saya dan ramai lagi (ahli Parlimen) bersedia untuk membantu menggalas tugas ini supaya risiko itu dikurangkan ke atas Perdana Menteri sebab kita tahu hendak mengemudi arena diplomatik ini bukan mudah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam Wacana Sinar siri ke-418 bertajuk ‘Memenangi perang naratif di luar Gaza’ yang dihoskan oleh Azlan Shah Nabees Khan pada Rabu.

Turut hadir, Syed Ibrahim yang juga Ketua Kaukus Palestin Parlimen Malaysia dan Penasihat Kehormat MyCare, Dr Hafidzi Mohd Noor.

Dalam pada itu, ujar beliau, rakyat Malaysia juga dilihat sudah bersedia dalam mendepani apa sahaja ancaman yang mungkin timbul akibat perbezaan pendirian dengan Amerika Syarikat (AS) dan Singapura dalam soal sokongan terhadap Israel.

Artikel Berkaitan:

"Namun, itu tidak bermaksud kita membawa perbezaan ini ke arena lain, kita perlu profesional.

“Sesetengah perkara kita tidak bersetuju tetapi tidak perlu sampai hubungan dagang atau sukan contohnya kita hendak boikot Singapura.

"Tetapi kita tidak perlu tunduk, malah kalau kita tidak bersetuju, maka kita tidak setuju. Itu cara kerja diplomasi," ujarnya.

Tambahnya, kerajaan diharap boleh bertindak dengan lebih tegas dari segi mengecam negara Israel serta sekutu-sekutunya.

"Kalau kita boleh menghantar nota bantahan diplomatik kepada China akibat pencerobohan ke dalam perairan negara kita, kenapa kita tidak boleh menghantar bantahan diplomatik kepada Kedutaan AS?

"Jadi ini perkara yang saya nampak kalau tidak dimulakan di Parlimen, mungkin sukar untuk kerajaan bertindak.

"Sebab itu tugas kami adalah menjadi 'bad cops' untuk menyokong kerajaan, tetapi dengan cara yang lebih garang sedikit," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!