NGO merintih tidak dapat salurkan bantuan di Gaza - Dr Hafidzi
SHAH ALAM - Tindakan rejim Israel yang melengahkan bantuan kemanusiaan menyebabkan sebahagian besar penduduk di Gaza menderita tanpa makanan dan ubat-ubatan.
Penasihat Kehormat MyCare, Dr Hafidzi Mohd Noor berkata, setakat ini hanya 35 trak berisi bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk, namun ia memerlukan proses pemeriksaan yang sangat lama oleh pihak berkuasa Israel sebelum disalurkan kepada mangsa.
Menurutnya, keadaan jalan yang rosak dan musnah menyukarkan badan bukan kerajaan (NGO) menghantar bantuan.
“Israel hanya membenarkan 20 trak pada hari pertama dan 15 trak pada hari kedua.
"Mereka membuat pemeriksaan terlalu lama sehingga melengah-lengahkan proses menghantar bekalan makanan dan ubat.
“Kami memang merintih. Sumbangan daripada rakyat Malaysia yang bermurah hati sangat banyak tetapi kita tidak dapat sampaikan. Ini sesuatu yang menyedihkan,” katanya dalam Wacana Sinar siri ke-418 bertajuk ‘Memenangi perang naratif di luar Gaza’ yang dihoskan oleh Azlan Shah Nabees Khan pada Rabu.
Turut hadir, Ketua Kaukus Palestin Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh dan Ketua Portfolio Hubungan Luar Negara Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Dalam pada itu, Dr Hafidzi berkata, NGO tetap akan meneruskan agenda membantu penduduk di Gaza bagi memastikan mereka mendapat perlindungan keselamatan dan perubatan.
Ujarnya, pihak NGO akan terus berusaha menyalurkan bantuan kepada penduduk di Gaza.
Jelasnya, Malaysia tidak perlu gentar dengan ancaman dari negara-negara kuasa besar, sebaliknya fokus membantu mereka yang sedang ditindas dengan kejam oleh rejim Zionis.
“NGO yang menguruskan isu kemanusiaan akan terus menyalurkan bantuan sama ada terdapat serangan atau tidak kerana kita perlu ingat bahawa Gaza telah dikepung sehingga sukar mendapatkan bekalan air bersih dan bahan api.
"Setiap kali musim sejuk, air dari saluran pembetungan akan melimpah keluar dan mereka tidak dapat baiki kerana ketiadaan alat gantian tangki,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!