Selesema burung dikesan di rantau Antartika buat kali pertama
PARIS - Selesema burung telah dikesan di rantau Antartika buat pertama kali, menurut pakar Britain sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa virus maut itu boleh menimbulkan ancaman kepada penguin dan spesies tempatan yang lain.
Para saintis bimbang bahawa wabak Influenza Burung Sangat Patogenik (HPAI) yang paling teruk dalam sejarah akan sampai ke Antartika, tempat pembiakan utama bagi banyak unggas.
British Antartic Survey berkata kakitangannya mengambil sampel daripada burung laut skua coklat selepas ia mati di Bird Island di Georgia Selatan, wilayah luar Britain di timur hujung Amerika Selatan dan utara daratan utama Antartika.
Ujian dihantar ke Britain dan didapati positif, kata institut penyelidikan kutub United Kingdom (UK) dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah kenyataan itu, virus tersebut berkemungkinan besar dibawa oleh burung yang pulang dari penghijrahan mereka ke Amerika Selatan, di mana terdapat sejumlah besar kes selesema burung.
"Pelawat ke Georgia Selatan dan Kepulauan Sandwich Selatan berada di bawah langkah biosekuriti yang dipertingkatkan dan kerja lapangan saintifik melibatkan burung di sana telah dihentikan," kata kenyataan itu.
Berita dahsyat
Michelle Wille, pakar selesema burung di Universiti Melbourne berkata, penyebaran selesema burung ke rantau Antartika adalah 'berita yang memusnahkan'.
"Keadaan boleh berubah dengan cepat," tulisnya di laman X.Ian Brown, ketua virologi di Agensi Kesihatan Haiwan dan Tumbuhan UK, memberi amaran minggu lalu bahawa terdapat risiko burung yang berhijrah boleh menyebarkan virus dari Amerika Selatan ke pulau Antartika dan kemudian ke daratan utama.
Katanya, penghijrahan itu boleh menjadi kebimbangan sebenar bagi populasi burung seperti penguin yang unik di Antartika.
"Burung seperti penguin yang tidak pernah terdedah kepada virus sebelum ini tidak akan mempunyai imuniti yang berpotensi menjadikan ia lebih terdedah," ujar Brown.
Manusia jarang dijangkiti selesema burung, tetapi ia boleh berlaku biasanya melalui sentuhan langsung dengan burung yang dijangkiti.
Awal bulan ini, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun meninggal dunia akibat selesema burung di Kemboja, kematian ketiga direkodkan di negara itu tahun ini.
Virus itu juga telah dikesan dalam bilangan mamalia yang semakin meningkat, menimbulkan kebimbangan ia boleh bermutasi menjadi versi yang lebih mudah ditularkan antara manusia. - AFP
INFO
- Menurut agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), wabak selesema burung yang berterusan menyebabkan kemusnahan kepada populasi haiwan.
- Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) berkata, virus influenza burung biasanya merebak dalam kalangan burung, tetapi peningkatan bilangan virus selesema burung H5N1 yang dikesan dalam mamalia menimbulkan kebimbangan bahawa virus itu mungkin menyesuaikan diri dan menjangkiti manusia dengan lebih mudah.
- Pada tahun 2022, WOAH menerima laporan mengenai wabak selesema burung dengan patogenik tinggi H5N1 dalam ayam dan burung liar dari 67 negara di lima benua, dengan lebih 131 juta ayam domestik hilang akibat kematian atau pemusnahan di ladang serta kampung yang terjejas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!