Syor tindakan agresif singkir tali barut

Tali barut dalam pasukan polis perlu disingkirkan. - Gambar hiasan
Tali barut dalam pasukan polis perlu disingkirkan. - Gambar hiasan
A
A
A

BUKAN suatu yang mengejutkan apabila Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din memberi amaran kepada pegawainya yang menjadi tali barut sindiket pengedaran dadah hinggakan beberapa operasi JSJN gagal dilaksanakan kerana terdapat kebocoran maklumat.

Tali barut bermaksud orang yang membuat pekerjaan tidak baik untuk orang lain atau orang suruhan yang menjadi penyampai rahsia pihak musuh.

Kita tidak mahu ada tali barut dalam pasukan polis.

Namun untuk menghapuskannya bukanlah satu tugas mudah kerana tali barut ini amat licik menyembunyikan identiti mereka hinggakan sukar untuk mengesan perbuatan yang tidak berintegriti itu.

Mereka bijak berpura-pura untuk mengaburi mata rakan setugas tetapi dalam senyap-senyap menggadai aspek keselamatan negara.

Kadangkala aktiviti tali barut yang tidak terkawal itu boleh menjadi barah yang membunuh secara senyap dari dalam mana-mana agensi ataupun jabatan.

Maka, apabila terdapat usaha untuk menangani isu berkenaan dengan bersungguh-sungguh seperti yang disuarakan oleh bos JSJN, ia perlulah disambut dengan serius untuk memerangi isu itu di peringkat akarnya bukan sahaja dalam PDRM sahaja, tetapi di semua agensi lain.

Bertindaklah dengan agresif termasuklah memasang pelbagai perangkap supaya golongan tidak bertanggungjawab itu bersara daripada menjadi mata dan telinga kepada penjenayah.

Artikel Berkaitan:

Pasukan pemantau juga perlu ditempatkan di dalam pasukan yang sering menjadi sasaran kepada berlakunya kebocoran maklumat kerana dengan inisiatif itu, ia sedikit sebanyak dapat memberikan kebimbangan kepada tali barut berkenaan untuk meneruskan agenda mereka.

Selain itu, tetapkan hukuman yang lebih keras terhadap mereka yang terlibat itu supaya golongan berkenaan sedar bahawa tindakan menjadi duri dalam daging adalah amat besar kesannya kepada seluruh pasukan.

Jika boleh jadikan usaha membersihkan tali barut ini sebagai agenda teras bagi menyokong sasaran kerajaan untuk menjadikan negara ini diuruskan dengan tatakelola yang baik.

Tanpa tindakan yang agresif, sampai bila-bila tidak akan berjaya usaha untuk membersihkan negara daripada anasir seperti itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!