ZPP lancar Bulan Zakat Pulau Pinang 2023
Sebahagian daripada usaha untuk ingkatkan kesedaran umat Islam terhadap ibadah zakat
Kempen yang dilancarkan di Masjid Al-Qahar, Permatang Damar Laut, Bayan Lepas itu merupakan antara inisiatif yang dilaksanakan oleh ZPP setiap tahun bagi menyemarakkan syiar Islam di negeri itu.
“Antara yang terlibat dalam sambutan ini ialah Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI), Al-Ikhsan Sports (Al-Ikhsan) dan Al-Hady Centre (Pusat Kajian Pemikiran dan Ketamadunan Islam) Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB),” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Ibu Pejabat ZPP, di sini pada Isnin.
Tambah Amran, IPSI akan terlibat dalam pelancaran ‘Trak Dakwah’ yang disumbangkan oleh ZPP bagi membantu usaha dakwah menerusi pendekatan street dakwah yang akan bergerak ke seluruh negara.
Sementara itu, Al-Ikhsan katanya akan terlibat dalam Program Bicara Zakat manakala Al-Hady Centre pula akan terlibat dalam Seminar Isu Kefatwaan Zakat 2023 (SIFZA 3.0).
“Adalah menjadi harapan ZPP agar Bulan Zakat Pulau Pinang 2023 ini dapat meningkatkan jumlah kutipan daripada para pembayar zakat bagi bulan Disember tahun ini,” jelasnya.
Sasaran
Dalam pada itu, Amran menyatakan kempen Bulan Zakat Pulau Pinang yang diadakan pada tahun-tahun sebelum ini sentiasa mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat selain berjaya mencapai sasaran kutipan zakat yang ditetapkan oleh ZPP.
"Statistik kutipan zakat setiap bulan Disember dalam tempoh empat tahun sebelum ini mencatatkan kadar 23 hingga 27 peratus daripada jumlah keseluruhan kutipan pada tahun-tahun berkenaan.
“Bagi tahun ini, ZPP mensasarkan kutipan zakat sebanyak RM167 juta berbanding RM150.2 juta pada tahun 2022,” ujarnya yang turut menyasarkan kutipan zakat pada kadar 25 peratus untuk bulan Disember ini.
"Justeru, ZPP optimis sasaran kutipan sebanyak RM167 juta akan dapat dicapai berikutan peratusan keseluruhan kutipan pada tahun ini. Malah, jumlah kutipan zakat fitrah bagi tahun ini telah meningkat sebanyak 9.3 peratus (RM6.83 juta) berbanding RM6.58 juta pada tahun lalu," jelas beliau lagi.
Amran berkata, antara kekangan yang dihadapi pada tahun ini adalah keadaan ekonomi negara yang belum begitu pilih kesan daripada pandemik Covid-19 sebelum ini.
Malah, kekangan itu turut disumbang isu kenaikan harga barangan keperluan yang menyebabkan ada umat Islam masih belum stabil khususnya dari segi kewangan.
Kesedaran zakat
Walau bagaimanapun katanya, kesedaran dan keyakinan masyarakat Muslim di Pulau Pinang terhadap ibadat zakat semakin meningkat.
"Kesedaran ini dapat dilihat daripada aktiviti-aktiviti kutipan seperti kempen taksiran zakat di kilang-kilang perindustrian dan karnival yang dianjurkan mendapat sambutan yang amat menggalakkan,” kata beliau.
Menurut Amran lagi, kesedaran dan keyakinan masyarakat turut dilihat menerusi pelaksanaan Skim Sakinah ZPP sehingga 22 Oktober tahun ini yang menyaksikan peningkatan 3.8 peratus atau RM44.3 juta kutipan zakat berbanding RM43.3 juta pada tahun 2022.
Mengulas lanjut mengenai kempen Bulan Zakat Pulau Pinang kata Amran, ia akan dioptimumkan menerusi pendekatan media sosial dan platform digital meliputi Meta (Facebook), TikTok, Instagram dan aplikasi X (Twitter).
"Ia selaras dengan digitalisasi operasi kutipan dan agihan zakat di Pulau Pinang. Bagaimanapun, kaedah kempen secara konvensional juga masih digerakkan supaya keterangkuman dakwah zakat dapat diliputi di segenap masyarakat Muslim di Pulau Pinang,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan bahawa ZPP telah berjaya mengekalkan pengiktirafan Pensijilan ISO 9001:2015 dan MS1900:2014 yang diterima pada tahun lalu setelah melalui proses pengauditan yang dijalankan oleh badan persijilan yang diiktiraf.
”Pengiktirafan ini menunjukkan kesungguhan serta komitmen ZPP di dalam tadbir urus yang baik dalam pengurusan zakat di Pulau Pinang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!