Pemuda maut, kereta terjunam dalam longkang
MELAKA - Seorang pemuda maut selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam longkang besar di hadapan pintu Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu, Jalan Durian Daun, di sini, pada Rabu malam.
Mangsa Tey Shen Hao, 26, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian 8.50 malam itu, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah pusat bandar menuju ke Bukit Baru.
Menurutnya, setiba di lokasi kejadian kereta Proton Saga dipandu mangsa hilang kawalan lalu terjunam ke dalam longkang di hadapan bangunan IPG tersebut.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat hentakan kuat pelanggaran.
"Mayat mangsa di bawa ke Unit Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat untuk mengetahui punca kematian," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.
Tambahnya, belum ada saksi yang tampil memberi keterangan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!