Newcastle pilih jalan berliku
PENGENDALI Newcastle United, Eddie Howe berkata, pasukannya telah memilih jalan berliku untuk mara ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara selepas kekalahan 0-1 di tempat sendiri kepada Borussia Dortmund pada awal pagi Khamis.
Felix Nmecha menjaringkan gol tunggal manakala tiang dua kali menafikan gol penyamaan Newcastle di penghujung perlawanan.
Kemenangan pertama gergasi Jerman itu dalam kumpulan yang dianggap paling sukar itu mengangkat Dortmund mengatasi Newcastle dengan rekod pertemuan apabila kedua-dua pasukan memungut empat mata.
Paris Saint-Germain mendahului kumpulan itu dengan enam mata manakala AC Milan di kedudukan tercorot.
Sebelum ini, Newcastle menandakan kepulangan mereka ke pentas Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun dengan kemenangan bergaya menumbangkan PSG 4-1 tiga minggu lalu.
“Secara taktikal mereka (Dortmund) bagus dan memberi kami masalah di kawasan tengah.
"Pada separuh masa kedua kami jauh lebih baik dan malangnya bola tidak masuk.
“Tiang menafikan jaringan kami tetapi kami perlu melihat diri sendiri apabila tewas dan melakukannya dengan cara yang sukar dalam kumpulan," katanya.
Dalam pada itu, pengendali Dortmund, Edin Terzic menyifatkan kemenangan tersebut sebagai keputusan sempurna buat kelab Jerman itu.
“Kami bermain pada separuh masa pertama yang hebat dan menunjukkan pertarungan hebat pada separuh masa kedua.
“Pada separuh masa kedua kami perlu banyak bertahan tetapi kami melakukannya dengan penuh semangat, sedikit tuah dan keupayaan penjaga gol kami yang hebat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!