Muslim menikahkan bukan Islam, apa hukumnya?
MUSLIM menikahkan orang bukan Islam. Situasi itu kelihatan agak janggal kerana jarang sekali perkara itu berlaku.
Andai melibatkan perkahwinan ahli keluarga bukan Islam, kita biasa melihat adik beradik mahupun saudara Muslim memenuhi undangan tersebut. Begitu juga sebaliknya.
Itu pun cukup sekadar itu, tidak adalah sampai mengikut proses ritual ikut majlis berpesta berlebih-lebihan yang bertentangan dengan syariat.
Dalam perihal orang Islam menikahkan non-Muslim, terdapat pandangan yang berbeza dalam kalangan agamawan sendiri yang mempunyai hujah masing-masing.
Menurut pendakwah Ustaz Azhar Idrus, Muslim tidak boleh mengahwinkan bakal pasangan suami isteri yang kafir, sebaliknya mereka hanya dibenarkan untuk menikahkan orang Islam sahaja.
“Dalam Islam, ia hanya membeli kelonggaran kepada orang bukan Islam yang bernikah ketika dirinya masih belum menganut agama suci ini. Katakan semasa dirinya (beragama) Kristian, dia berkahwin di gereja dan ‘dinikahkan’ oleh paderi, maknanya ada ikhtiar dan ijab kabul di sana.
“Seandainya kedua-dua pasangan suami isteri ini masuk Islam, maka agama memberi kelonggaran yang mana mereka tidak wajib bernikah lagi dalam Islam. Perkahwinan mereka (semasa belum Islam) sebelum ini diiktiraf,” terangnya menerusi video yang disiarkan dalam akaun YouTube miliknya pada Rabu.
Sementara itu, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin senada dengan Ustaz Azhar Idrus dalam perihal pengiktirafan perkahwinan pasangan bukan Islam yang kemudiannya bersama-sama memeluk agama suci itu tanpa perlu akad nikah semula.
Dr Mohd Asri yang dikenali sebagai Dr Maza bagaimanapun berbeza pandangan dalam perihal orang Islam menikahkah non-Muslim.
Beliau kemudian mengulas panjang lebar tentang dua pandangan ulama berkaitan perkara berkenaan.
Mengambil contoh jiran bukan Islam meminta kita orang Islam menikahkan mereka, ujar beliau, andai perkahwinan tersebut memenuhi cara Islam seperti mereka bukan pasangan adik beradik, isteri orang, ibu dan anak ataupun bapa dengan anak perempuan, ia boleh dilakukan dengan syarat tertentu.
Berikut jawapan Dr Maza sebagaimana disiarkan dalam akaun YouTube PROmedia TAJDID Short Video:
“Jika perkahwinan yang dia suruh kita nak buat itu memenuhi macam cara Islam seperti pasangan tadi bukan adik beradik, bukan isteri orang, bukan mak dengan anak ataupun bapa dengan anak perempuan, kemudian lafaz.
“Lafaz ini pada sebahagian ulama ataupun apa sahaja lafaz yang menunjukkan kahwin di sisi masyarakat itu, kahwinlah sehingga sebahagian fuqaha menyatakan, ‘aku milikkan wanita itu pada engkau’.
“Kalau itu dianggap perkataan itu nikah di sisi masyarakat itu tak faham melainkan maksud nikah, nikah.
“‘Aku jadikan ia suamimu’, itu boleh faham maksud lain. Ataupun ‘aku jadikan dia isterimu’, boleh faham maksud lain? Maksudnya mestilah nikah.
“Kalau sekurang-sekurangnya dia suruh kata macam tu, dan dalam majlis yang ada disaksikan oleh orang lain dalam masyarakat dia, diiktiraf oleh masyarakat dia, kita boleh lakukan.
“Agama dia pun iktiraf, dari segi agama kita pun tak ada kemungkaran.
“Tapi kalau dia kata, sebelum nak akad itu kena sebut ‘In the name of Jesus’, tak boleh. Ataupun disuruh sebut nama berhala dia dulu, tak bolehlah.
“Ataupun suruh nikah dengan isteri orang, tak bolehlah; ataupun yang nak dia nikahkah itu pasangan dua beradik, tak bolehlah; ataupun ada kemungkaran yang lain, tak boleh.
“Tapi kalau tak ada benda itu, kita boleh kalau dia mengiktiraf apa yang kita lafaz untuk dia. Kerana kalau dia Islam pun, syarat tu cukup. Cumanya tak cukup itu kerana dia kafir, syaratnya tak cukup saksi itu kerana atas Islam, sedangkan bab saksi tadi saya bagi tahu ada keluasan dalam Mazhab Malik tadi.
“Jadi kalau orang bukan Islam minta kita akad dia, kalau tak ada apa kemungkaran, boleh. Kita jangan jumud sangat bab itu.”
Apa pun, terpulang kepada penilaian masing-masing dalam hal itu. Andai ada perkara yang boleh kita hindar demi mengelak fitnah timbul lagi besar, sebaiknya jauhkanlah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!