Kenyataan Anwar diancam pelik, lucu
PUTRAJAYA - Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau diancam berikutan kritikan terhadap kerajaan Israel dalam isu perang di Gaza sebagai pelik malah melucukan.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyudin Hassan berkata, kenyataan berbentuk alarmist itu hanya bertujuan untuk menonjolkan kehebatan dan kepentingan Anwar yang sudah menjadi ciri kekal pentadbirannya sehingga kini masih terkial-kial dalam mendapatkan sokongan serta kepercayaan awam.
"Lebih malang lagi, dakwaan itu dibuat dalam acara yang sepatutnya didedikasikan sepenuhnya kepada perjuangan rakyat Palestin, bukan menunggangnya untuk menunjukkan kehebatan seseorang pemimpin," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, kenyataan itu juga boleh menimbulkan imej tidak positif terhadap negara kerana Anwar membuat dakwaan rambang dan khayalan sedemikian.
"Pendirian tegas Malaysia menyokong perjuangan rakyat Palestin dan mengkritik Israel sudah diketahui umum dan bukanlah berita baharu," katanya.
Beliau berkata, Perdana Menteri terdahulu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahupun Datuk Seri Ismail Sabri diketahui sangat lantang dalam isu ini, namun tiada pula ancaman dilaporkan.
"Malah Malaysia juga mempunyai hubungan rasmi dengan kerajaan Palestin dan juga Hamas di bawah kepimpinan sebelum ini.
"Jadi kenapa pula Anwar tiba-tiba diancam dan ancaman itu pula adalah dalam bentuk kenyataan yang dibuat oleh ahli-ahli Parlimen?" soalnya.
Takiyudin berkata, sekiranya ancaman yang dimaksudkan itu benar-benar wujud dan berlaku, Anwar sebagai ketua kerajaan sepatutnya mengambil langkah wajar.
"Panggil duta atau wakil negara terbabit bagi menyampaikan bantahan Malaysia, bukan membuat kenyataan terbuka tanpa penjelasan mengenainya," jelas Ahli Parlimen Kota Bharu itu.
Semasa Pidato Kemuncak Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Stadium Arena Axiata di Kuala Lumpur pada Selasa malam, Anwar mendedahkan beliau menerima ugutan rentetan pendirian Malaysia sebagai Pro-Palestin.
Sehari selepas itu, Anwar mendedahkan ugutan tersebut diusul oleh ahli Parlimen Eropah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!