Barcelona dapat tonik tambahan
BARCELONA mendapat tonik tambahan menjelang aksi Clasico hujung minggu ini apabila meneruskan langkah cemerlang dalam saingan Liga Juara-Juara setelah membenam Shakhtar Donetsk 2-1, awal pagi Khamis.
Juara La Liga itu meraih kemenangan ketiga daripada tiga perlawanan dan tinggal selangkah ke pusingan kalah mati selepas gagal melepasi peringkat kumpulan sejak dua musim lalu.
Menariknya, pemain berusia 20 tahun, Fermin Lopez meledak gol kedua sekali gus memacu kemenangan skuad bimbingan Xavi Hernandez itu.
Terdahulu Ferran Torres meletakkan Barca di depan pada minit ke-28.
Lapan minit kemudian Lopez meledak jaringan kedua dari penjuru kotak penalti.
Heorhiy Sudakov merapatkan jurang untuk Shakhtar ekoran kealpaan benteng Barca yang mencemaskan tuan rumah, namun mereka ampuh bertahan untuk mengutip tiga mata.
Sebelum ini, pemain berusia 17 tahun Marc Guiu muncul kali pertama melakar gol kemenangan Barcelona dan prestasi menakjubkan Lopez membuktikan bisa produk akademi La Masia.
“Dia pemain dinamik dan sikapnya wajar dipuji. Dia mahu belajar dan ingin perbaiki persembahan,” ujar Xavi.
Malah Xavi juga percaya Lopez sebagai bakat terbaru yang berpotensi untuk diserapkan ke dalam skuad utama.
“Saya sangat gembira dengan prestasinya (Lopez). Dia mampu menjadi pemain penting untuk kami dan beraksi untuk lebih tempoh lebih lama,” katanya.
Barcelona akan menanti kunjungan musuh tradisi Real Madrid dalam saingan La Liga pada Sabtu ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!