Jonah pasang impian besar
ATLET lontar peluru negara, Jonah Chang Rigan memasang impian besar untuk muncul atlet Malaysia pertama melakukan balingan sejauh 20 meter (m).
Walaupun menyedari ia bukanlah sesuatu yang mudah, namun kejayaan memecahkan rekod kebangsaan pada Kejohanan Balingan Asia 2023 di Korea Selatan baru-baru ini, menyuntik semangat bintang muda kelahiran Sarawak itu.
Jonah memadamkan rekod kebangsaan 17.54m berusia 12 tahun yang dipegang Adi Alifuddin Hussin dengan mencatatkan 17.67m, selain memperoleh tempat kelima pada kejohanan di Mokpo City itu.
"Saya akan memastikan untuk melakar rekod terbaik itu (catatan 20m) dalam masa enam tahun akan datang," kata jaguh dalam pembikinan itu ketika ditemui pada Majlis Perjanjian Penajaan antara Kesatuan Olahraga Malaysia dan Cahya Mata Sarawak Berhad di Petaling Jaya pada Rabu.
Pemuda itu juga telah menetapkan sasarannya untuk Sukan Malaysia (Sukma) yang bakal berlangsung di Sarawak tahun depan serta Sukan SEA 2025 di Thailand.
Bagi Sukma, Jonah bertekad untuk memecahkan rekod temasya di samping mempertahankan kejuaraan yang diraihnya pada edisi Kuala Lumpur tahun lepas dengan catatan 16.65m.
"Pada Sukan SEA 2025 di Thailand, saya nak raih pingat pertama saya pada temasya itu, sebab di Kemboja saya hanya berada di tempat keempat...tidak kisah pingat emas, perak atau gangsa," katanya yang mahu terus melakar kejayaan bagi mengharumkan nama Malaysia di mata dunia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!