Hampir 20,000 murid terima 4 juta tajaan makanan tengah hari - Bernas

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hampir 20,000 murid dari 93 sekolah rendah yang kurang berkemampuan di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu menerima bantuan berbentuk tajaan makan tengah hari seimbang menerusi Program Makanan Kesihatan (Promak) sejak Januari 2022.

Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dalam satu kenyataan memaklumkan menerusi usaha bersepadu Promak itu, hampir empat juta hidangan tengah hari telah dapat dinikmati oleh murid daripada sekolah terlibat.

"Sejak setahun pelaksanaan, data dikumpul daripada Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah Malaysia (SEGAK) untuk pelajar sekolah yang terlibat dengan Promak memperlihatkan impak positif ke atas berat, ketinggian dan kehadiran murid sejak program diperkenalkan.

"Selain tertumpu kepada aspek kesihatan, pendidikan dan pembangunan sosial kanak-kanak, Promak turut membantu mengurangkan perbelanjaan makanan isi rumah dan meningkatkan pendapatan boleh guna khususnya dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah,” menurut kenyataan itu.

Promak merupakan program kerjasama strategik antara sektor korporat dan agensi kerajaan, menyaksikan Bernas bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan bagi menggerakkan agenda nasional dalam menangani isu malnutrisi dalam kalangan murid sekolah rendah di negara ini.

Selasa lepas, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek melancarkan program yang baru setahun diperkenalkan itu, selain menganjurkan program Promak Riang Ria Nutri, yang julung kali diadakan sebagai inisiatif tambah nilai di bawah Promak.

Program sehari yang berlangsung di Kedah itu memberi peluang kepada Bernas untuk menyantuni 500 murid dari 24 sekolah di negeri berkenaan di samping memberi pendedahan tentang pemakanan sihat.

Sementara itu, Bernas memaklumkan selain menawarkan bantuan makanan seimbang, syarikat itu turut berusaha membentuk satu platform bimbingan secara berterusan sebagai inisiatif ke arah gaya hidup sihat lestari bagi mendedahkan kanak-kanak dengan ilmu dan kesedaran berhubung kepentingan nutrisi makanan serta amalan pemakanan yang baik.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi Bernas, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, Promak bertujuan untuk memupuk budaya pemakanan sihat dari usia awal.

"Akses kepada makanan seimbang dan bernutrisi lengkap di sekolah akan membentuk perkembangan fizikal, mental dan psikologi kanak-kanak yang seterusnya akan membantu mereka lebih bersedia untuk pembelajaran,” katanya.

Rohani berkata, sebagai organisasi korporat mengutamakan keselamatan makanan dan mementingkan kesejahteraan sosial, Bernas akan terus mempergiat inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) ke arah merealisasikan agenda pembangunan masyarakat secara amnya serta melahirkan generasi pelapis cemerlang.

Beliau berkata, menerusi Promak, Bernas turut menyokong hasrat kerajaan dalam memastikan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 di bawah Matlamat 2.2 (menamatkan semua bentuk malnutrisi) tercapai.

"Malaysia memerlukan banyak usaha untuk dilaksanakan dalam matlamat SDG ini agar kemampanan negara dapat dicapai memandangkan kemajuan yang agak perlahan dalam SDG 2.

"Justeru, agenda perubahan ini perlu dipandang serius dengan Bernas turut menyahut seruan ini dengan memperkenalkan program Promak dalam memastikan kepentingan semua lapisan masyarakat dijaga bermula dari kanak-kanak dan murid sekolah,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!