Impi lebih banyak litar lumba kekal

Setakat ini tiga pusingan Cub Prix untuk musim 2020 bakal dilangsungkan di litar lumba kekal.
Setakat ini tiga pusingan Cub Prix untuk musim 2020 bakal dilangsungkan di litar lumba kekal.
A
A
A

KEJUARAAN Cub Prix Malaysia Petronas akan terus mengukuhkan kerjasama dengan kerajaan negeri serta para pemegang hak dalam usaha untuk mewujudkan lebih banyak kemudahan litar lumba kekal bagi melancarkan penganjuran kejuaraan nasional itu.

Setakat ini, tiga pusingan untuk musim 2020 nanti bakal dilangsungkan di litar lumba kekal dan ini adalah seiring dengan objektif utama pihak penganjur untuk membantu kemudahan sedia ada, selain menuntut lebih banyak fasiliti perlumbaan diwujudkan pada masa depan.

“30 peratus daripada kejuaraan ini bakal diadakan di litar kekal dan ia merupakan satu permulaan yang baik. Sejujurnya, Cub Prix mahukan lebih banyak pusingan diadakan di litar tetap yang serba lengkap, sekali gus menepati standard yang dituntut dalam kejuaraan kompetitif seperti ini.

“Buat masa ini, kami sedang bekerjasama dengan beberapa tuan rumah bagi venue kejuaraan yang telah menunjukkan minat untuk mengubah litar jalanan kepada litar lumba kekal. Justeru, kami berharap usaha ini akan menjadi berita gembira untuk dikongsi pada pertengahan musim 2020 nanti,” jelas Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd, Ron Hogg.

Daripada 10 pusingan yang dijadualkan berlangsung pada musim 2020 nanti, tiga pusingan akan diadakan di litar lumba kekal iaitu di Litar Lumba Tangkak, Johor, Litar Permotoran Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Kuala Terengganu dan pusingan penutup musim di Litar Antarabangsa Sepang.

Kalendar Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas musim 2020 akan bermula pada Mac depan dengan Litar Lumba Tangka bakal menjadi venue untuk pusingan pembuka tirai.

Pusingan kedua akan berlangsung di Batu Kawan, Pulau Pinang diikuti Pusingan 3 di Kota Bharu, Kelantan.

Selepas aksi di Kota Bharu, kejuaraan berprestij ini akan berehat seketika bagi menghormati bulan Ramadan dan Syawal, dan selepas itu akan diteruskan dengan aksi Pusingan 4 yang akan berlangsung di Pontian, Johor.

Artikel Berkaitan:

Pontian kembali menjadi tuan rumah pada musim 2020 nanti selepas membuat penampilan pertama pada musim 2019 sebagai hos untuk Pusingan 4.

Teluk Intan akan menjadi hos untuk Pusingan 5 diikuti Kangar yang bakal menjadi venue untuk saingan Pusingan 6.

Litar Permotoran Kompleks Sukan Negeri Terengganu yang membuat kemunculan sulung sebagai hos pada musim 2019 akan menjadi tuan rumah untuk Pusingan 7 pada bulan September.

Venue untuk Pusingan 8 masih belum diputuskan buat ketika ini dan ia akan diumumkan kemudian.

Seperti biasa, Jempol, Negeri Sembilan kekal sebagai hos untuk Pusingan 9 diikuti aksi penutup musim di Litar Antarabangsa Sepang pada November nanti.

Kalendar Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2020:

Pusingan 1

Litar Lumba Tangkak, Johor (14-15 Mac)

Pusingan 2

Batu Kawan, Pulau Pinang (28-29 Mac)

Pusingan 3

Kota Bharu, Kelantan (17-18 April)

Pusingan 4

Pontian, Johor (13-14 Jun)

Pusingan 5

Teluk Intan, Perak (11-12 Julai)

Pusingan 6

Kangar, Perlis (29-30 Ogos)

Pusingan 7

Kuala Terengganu (11-12 September)

Pusingan 8

Akan ditentukan kemudian (10-11 Oktober)

Pusingan 9

Jempol, Negeri Sembilan (7-8 November)

Pusingan 10

Litar Antarabangsa Sepang (21-22 November)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!