Bekas pemilik syarikat latihan didakwa serah butiran palsu
SHAH ALAM - Seorang bekas pemilik syarikat latihan pembuatan kek mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Khamis atas tiga pertuduhan memperdayakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dengan menyerahkan butiran palsu membabitkan 14 nama yang bukan kakitangannya, dua tahun lalu.
S Amutha, 29, membuat pengakuan berkenaan selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Datuk Anita Harun.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, wanita terbabit didakwa memasukkan 14 nama ke Sistem Penjana Kerjaya (Penjana) 2.0 kepada Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan, PERKESO di sini, dengan niat memperdaya badan berkanun tersebut, sedangkan nama-nama tersebut bukan pekerja syarikatnya.
Kesalahan didakwa dilakukan di Unit Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan, PERKESO di Petaling Jaya di sini pada 28 dan 30 April 2021.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 (2) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah butiran palsu atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM20,000 hingga RM40,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan iaitu melapor diri di Pejabat SPRM Seremban sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Bagaimanapun, peguam, Mahendren Naidu yang mewakili Amutha berkata, pembelaan tidak membantah syarat tambahan terbabit namun merayu agar serahan pasport dapat dilaksanakan pada tarikh lain memandang dokumen perjalanan itu tidak dibawa ke mahkamah.
"Dia tidak lagi bekerja dan berdepan masalah kewangan," katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Anita membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
"Pasport perlu diserahkan kepada mahkamah pada prosiding akan datang iaitu 29 November depan," kata hakim itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!