Nilai persahabatan runtuh kerana politik
Tiada musuh yang kekal dan tiada kawan yang setia dalam politik. Itulah ungkapan yang sering didendangkan oleh mereka yang bergelumang dalam dunia politik di seantero dunia.
Dunia politik secara perlahan berubah menjadi arena saling mengeji dan saling umpat. Pada 2008, dua ahli akademik dari University of Notre Dame, John von Heyking dan Richard Avramenko pernah melakukan kajian khusus membahaskan fenomena itu.
Kedua-dua ahli akademik itu mendapati semangat politik liberal yang tumbuh subur di negara Barat tidak selaras dengan nilai persahabatan.
Kekal atau setia dalam kehidupan politik itu sebenarnya banyak ditafsirkan berpaksi kepada kunci utama iaitu ‘kuasa’.
Ramai berhujah bahawa sebilangan besar orang politik berjuang untuk mendapatkan kuasa dan kedudukan. Hanya segelintir yang benar-benar bersusah payah menitiskan peluh serta keringat atas nama sebuah perjuangan ikhlas.
Dek kerana terlalu mengejar kuasa, kedudukan dan jawatan dalam politik persahabatan sejak sekian lama musnah kerana kerakusan politik.
Tanpa nilai persahabatan, politik akan diekspresikan setiap orang dengan penuh sentimen. Tanpa nilai persahabatan, setiap orang bebas melakarkan politik melampau yang sarat dengan kebencian. Tanpa nilai persahabatan, ramai orang akan menjadikan hak bersuara mereka untuk mengeji dan memalukan orang lain.
Di Malaysia, tanpa disedari sentimen politik telah mengalahkan nilai-nilai persahabatan dan memudarkan adab malah kadangkala membelakangkan hukum agama.
Politik bukanlah tujuan, melainkan alat untuk mencapai kesejahteraan sosial, tapi kerana salah orientasi, politik kekuasaan pula menjadi tujuan. Akibat rakusnya kekuasaan, nilai persahabatan pun digadaikan. Itulah konsep politik yang sempit.
Rasanya memang menjengkelkan melihat setiap hari di media sosial menjadi gelanggang atau medan untuk menyemaikan kebencian dan permusuhan.
Sahabat mencerca sahabat lain, kawan memburukkan peribadi kawan lain dan rakan memfitnah rakan lain semata-mata kerana politik.
Saat negara seperti Amerika Syarikat dan China ‘bergaduh’ tentang teknologi 5G, kita masih sibuk menghina bangsa dan negara sendiri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!