Tiada pelabur perniagaan i-Serve tampil buat laporan
KUALA LUMPUR - Tiada mana-mana pelabur melibatkan perniagaan i-Serve Online Mall Sdn Bhd tampil bagi membantu siasatan berhubung aktiviti pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf sekali lagi memohon pelabur-pelabur itu segera tampil membantu siasatan.
"Kita difahamkan ramai individu melabur dengan syarikat itu, namun setakat ini tidak ada yang tampil buat laporan.
“Mungkin kealpaan mereka buat pelaburan dan tidak tahu pelaburan itu tidak betul sehingga mengalami kerugian,” katanya dalam sidang akhbar, di sini pada Khamis.
Beliau berkata, meskipun tiada pelabur atau mangsa yang tampil ianya sama sekali tidak menjejaskan siasatan itu.
“Hanya satu kertas siasatan sahaja dibuka setakat ini, kalau mangsa tampil ia akan mudahkan lagi siasatan kami.
“Ini kerana, semua pelabur boleh dianggap sebagai mangsa, kecuali mereka mula-mula menerima pulangan tetapi tidak terima sepenuhnya,” ujarnya.
Ditanya jangkaan pengasas syarikat penerbangan tambang murah, MyAirlines akan didakwa, Ramli menjelaskan ia akan dilakukan sebaik siasatan selesai.
Dalam pada itu, kata beliau, ada beberapa petunjuk ditemukan dan paling penting iaitu pemulangan aset-aset yang diselewengkan.
“Sebab kita (polis) siasat di bawah pengubahan wang haram. Jadi, saya nak tengok sama ada ia digunakan untuk melakukan belian peribadi atau disimpan di dalam bank di dalam atau luar negara,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan siasatan polis kini menumpukan kepada penglibatan pemegang saham perniagaan i-Serve dengan individu bergelar Datuk berhubung perniagaan rangkaian syarikat menggunakan hasil pengubahan wang haram.
Siasatan awal polis mendapati suspek dipercayai berkomplot dengan dalang utama dalam perniagaan i-serve serta rangkaian perniagaan dalam syarikat itu sejak 2018 disyaki hasil wang pelaburan.
Pada 22 Oktober lalu, sebanyak 15 akaun bank bernilai kira-kira RM5 juta selain merampas beberapa dokumen dan barang milik suspek.
Dalam pada itu, pemegang saham i-Serve turut ditahan di Bangsar.
Ramli turut memohon mana-mana individu yang melabur dalam i-Serve untuk tampil membuat laporan polis berkaitan jumlah pelaburan mereka.
Pada 18 Oktober lalu, pengasas bersama dan pemegang saham sebuah syarikat penerbangan bergelar ‘Datuk’ serta isteri dan anak lelakinya di Shah Alam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!