Penunggang maut kemalangan dengan kereta dipandu vokalis Kris

Keadaan kereta dan motosikal akibat terlibat kemalangan di Jalan Kuantan-Maran berhampiran susur Unipsas, Pahang pada Khamis. - Foto FB Polis Trafik Kuantan
Keadaan kereta dan motosikal akibat terlibat kemalangan di Jalan Kuantan-Maran berhampiran susur Unipsas, Pahang pada Khamis. - Foto FB Polis Trafik Kuantan
A
A
A

KUANTAN - Vokalis Kumpulan Kris, Alim atau nama sebenarnya Abdul Halim Mohd Bukhari, 53 terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Maran berhampiran susur Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Unipsas) di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, kereta jenis BMW dipandu penyanyi tersebut dipercayai terlanggar sebuah motosikal menyebabkan penunggang, Eddy Kusmiran Ambi, 61 meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, penyanyi lalu Tiara itu terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika penyanyi itu memandu dalam perjalanan dari arah bandar Kuantan menghala ke Rompin.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal dari arah sama dipercayai mengubah lorong secara tiba-tiba dari kiri ke laluannya di sebelah kanan.

"Ekoran ekoran jarak terlalu dekat, vokalis Kris itu gagal mengelak lalu terlanggar motosikal tersebut menyebabkan penunggangnya, seorang buruh binaan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat.

"Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!