Aktiviti pertanian punca banjir, penduduk rayu PM campur tangan

Sebahagian penduduk menunjukkan kawasan pertanian berhampiran Taman Chepor Sentosa yang didakwa menjadi punca berlakunya banjir kilat di kawasan berkenaan.
Sebahagian penduduk menunjukkan kawasan pertanian berhampiran Taman Chepor Sentosa yang didakwa menjadi punca berlakunya banjir kilat di kawasan berkenaan.
A
A
A

IPOH - Penduduk Taman Chepor Sentosa, Chemor di sini merayu campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyelesaikan isu banjir kilat yang berterusan di kawasan perumahan berkenaan dipercayai disebabkan aktiviti pertanian berhampiran.

Seorang penduduk, Isa Shamsuddin, 50, penduduk sudah tidak tahan lagi menghadapi isu berkenaan saban tahun kerana tidak nampak sebarang penyelesaian.

Katanya, perjumpaan telah dilakukan beberapa kali bersama pihak pejabat daerah dan tanah, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) serta pemaju yang memiliki tanah tersebut tersebut tetapi jawapan mereka isu berkenaan sedang dalam tindakan mahkamah.

"Mereka kata isu ini dalam tindakan mahkamah tapi sudah bertahun-tahun lamanya. Sampai bila kita nak tunggu? Urusan mahkamah itu tak melibatkan penduduk pun, yang kita mahu tahu apa penyelesaian terhadap isu banjir ini kerana sampai sekarang tak selesai. Kami rasa dah tak boleh tunggu lagi.

"Takkan tak ada langsung mana-mana peruntukan undang-undang yang boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah ini. Jadi kita rayulah Perdana Menteri sebab ini kawasan beliau, ambillah langkah segera untuk atasi banjir ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Taman Chepor Sentosa di sini pada Khamis.

Keadaan longkang di taman perumahan berkenaan yang dipenuhi pasir akibat banjir kilat yang berlaku setiap kali hujan lebat.
Keadaan longkang di taman perumahan berkenaan yang dipenuhi pasir akibat banjir kilat yang berlaku setiap kali hujan lebat.

Seorang lagi penduduk, Halimah Bahazim, 60, berkata, sejak tiga tahun tinggal di kawasan tersebut hidupnya tidak pernah tenang.

Katanya, setiap kali hujan air akan naik di hadapan rumah dan selepas surut, sisa pasir serta lumpur ditinggalkan di atas jalan berhampiran rumah.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, keadaan itu memaksa penduduk membersihkan sendiri sisa lumpur bagi mengelak permukaan jalan menjadi licin dan kotor.

"Rumah kami yang berhampiran kebun ini sentiasa berselut setiap kali hujan lebat. Jalan jadi macam sungai, kemudian longkang penuh dengan pasir.

"Memang tak selesa dah duduk sini. Dengan umur macam ini memang tak lalu nak cuci depan rumah. Tong sampah pun asyik hanyut dibawa air," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Penduduk Taman Chepor Sentosa, Farriz Izzwan Khairulanuar berkata, selain banjir kilat, kerosakan infrastruktur juga dialami penduduk disebabkan kesan aktiviti pertanian haram berhampiran taman perumahan tersebut.

Menurutnya, masalah itu sudah disuarakan beberapa kali, malah surat dan memorandum juga telah dihantar kepada pihak berkaitan supaya tindakan dapat diambil sebelum keadaan menjadi lebih parah.

Penduduk berdepan banjir kilat setiap kali hujan lebat berlaku di kawasan perumahan terbabit.
Penduduk berdepan banjir kilat setiap kali hujan lebat berlaku di kawasan perumahan terbabit.

Bukan itu sahaja, pencemaran bau juga dialami penduduk setiap kali proses membaja dan meracun dibuat di kawasan pertanian tersebut.

Menurutnya, penduduk telah dimaklumkan bahawa pemaju yang memiliki tanah tersebut sepatutnya memulakan pembinaan rumah dua tahun lalu tetapi disebabkan petani berkenaan ia tidak dapat berjalan.

"Keadaan ini amat mendukacitakan kerana jika pembangunan terancang dibuat, pasti ada longkang sempurna dibina dan bukan seperti sekarang.

"Jadi kita mendesak supaya segerakan sebarang tindakan untuk memastikan masalah banjir dapat dihentikan secepat mungkin," katanya.

Pada 24 April lalu, Sinar Harian melaporkan mengenai kejadian banjir kilat yang menimpa sebahagian penduduk Taman Chepor Sentosa di sini.

Kejadian tersebut menyebabkan penduduk terlibat mengalami kerugian ribuan ringgit akibat kerosakan peralatan elektrik dan perabot yang tidak sempat diselamatkan kerana rumah mereka dipenuhi lumpur.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!