Terlantar, lumpuh tidak halang pemuda cari rezeki

Kegigihan Mohd Rahiman mencari rezeki walaupun lumpuh dan terlantar mendapat perhatian ramai serta menjadi contoh kepada masyarakat di luar sana.
Kegigihan Mohd Rahiman mencari rezeki walaupun lumpuh dan terlantar mendapat perhatian ramai serta menjadi contoh kepada masyarakat di luar sana.
A
A
A

TUMPAT - Seorang lelaki yang terlantar dan lumpuh separuh badan akibat kemalangan jalan raya tujuh tahun lalu kental 'berjuang' mencari rezeki melalui sistem affiliate di aplikasi TikTok untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Mohd Rahiman Aladin, 34, berkata, dia mula aktif berniaga melalui affiliate itu sejak Mac lalu dan sehingga kini berjaya menjana pendapatan lebih RM1,000.

"Walaupun lumpuh, namun tangan saya masih boleh bergerak sebagaimana manusia normal lain.

"Menurusi sistem ini saya perlu memuat naik kandungan video bagi mempromosikan barangan jualan secara dalam talian.

"Ia sangat mudah untuk saya," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan dari wakil syarikat Mz Gold Sdn Berhad, Nur Akmal Ahmad Tajudin di Kampung Laut di sini pada Khamis.

Menurut beliau, terbaharu dia telah dilantik sebagai ejen jualan emas kepada syarikat berkenaan.

Ujarnya, melalui sistem itu dia dapat membantu menambah pendapatan seterusnya meneruskan kelangsungan hidup walaupun terlantar.

Mohd Rahiman memberitahu, pada awalnya dia mempunyai belasan ribu pengikut, namun disekat selepas memperjuangkan isu Palestin dan kini terpaksa mambuka akaun TikTok baharu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, keadaan itu tidak mematahkan semangat anak keenam daripada tujuh beradik tersebut walaupun perlu bermula dari bawah semula.

Sementara itu, mengimbas semula kejadian yang mengubah fizikalnya itu, Mohd Rahiman berkata, ia berlaku semasa dia dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja.

"Akibat kemalangan itu, saya lumpuh dan terlantar di Hospital Sungai Buluh selama dua bulan sebelum dibawa pulang ke kampung.

"Sejak itu saya hilang upaya untuk bekerja, jadi ibu, Wan Shamsiah Ibrahim, 64, yang membantu menguruskan kehidupan harian.

"Bukan itu sahaja, ibu terpaksa menjaga abang sulung yang merupakan bapa tunggal dan menghidap penyakit sawan serta hilang upaya untuk bekerja," katanya.

Menurutnya, sebelum kemalangan dia terlibat dalam kerja-kerja pendawaian elektrik di Kuala Lumpur.

"Alhamdulillah, saya bersyukur apabila turut mendapat bantuan bulanan sebanyak RM500 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sumbangan tahunan dari Majlis Agama Islam dan Adat Isitiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Sementara itu Nur Akmal berkata, pihaknya akan terus memberikan bimbangan kepada Mohd Rahiman untuk meningkatkan hasil jualannya.

Ujarnya, bimbingan itu menerusi penyediaan kandungan dalam menarik orang ramai untuk membeli barang kemas melalui affiliate sekali gus membantu kantung kewangan Mohd Rahiman.

"Pada masa sama, kita turut membuka peluang kepada golongan asnaf untuk terlibat dalam bidang ini dan ia merupakan bentuk perkongsian rezeki pihak kami," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!