Kaki budak lima tahun tersangkut dalam lubang tandas
SUNGAI BULOH - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun terpaksa menahan sakit selama setengah jam selepas kaki kirinya tersangkut dalam lubang tandas rumahnya di Kampung Baru Sungai Buloh, di sini pada Khamis.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada jam 1.53 petang.
"Seramai enam anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan itu.
“Setibanya di lokasi, kita mendapati kaki kiri kanak-kanak itu tersangkut di dalam lubang tandas," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ahmad Mukhlis berkata, pihaknya bertindak memecahkan tandas tersebut untuk menyelamatkan kanak-kanak itu.
"Kita berjaya mengeluarkan kaki kanak-kanak terbabit kira-kira jam 2.23 petang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!