RISDA sedia lima insentif, galak pekebun tingkat produktiviti
PADANG BESAR - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyediakan lima insentif utama melalui Program Skim Getah Matang (SGM) dalam usaha memastikan pengeluaran hasil getah yang optimum oleh para pekebun kecil.
Ahli Pihak Berkuasa RISDA, Ruzaini Rais berkata, SGM merangkumi insentif lima peringkat bantuan dengan tambahan bantuan Skim Getah Matang Tanam Semula berjumlah RM7,700 kepada para pekebun kecil di kawasan Semenanjung manakala RM8,400 di Sabah dan Sarawak.
Katanya, Bagi SGM peringkat satu dan dua, ia disediakan untuk memperkasakan pengurusan ladang menerusi penggunaan teknologi terkini.
“Insentif peringkat satu adalah khusus untuk pemilik kebun getah matang yang akan membuka panel torehan. Ia melibatkan bantuan baja, set torehan, dan racun rumpai dengan nilai RM 2,300 bagi setiap hektar di Semenanjung dan RM 2,500 bagi setiap hektar di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Gerakan Peningkatan Produktiviti Getah (GPPG) Peringkat Negeri Perlis, di sini pada Khamis yang turut dihadiri Pengarah RISDA negeri, Ismail Jaafar.
Tambah Ruzaini, bantuan tersebut turut disampaikan kepada para pemilik kebun yang terjejas akibat bencana atau yang telah ditinggalkan.
Sementara itu, bagi peringkat dua katanya, SGM memberikan bantuan penyediaan baja RISDA kepada para pemilik kebun sebanyak 50 beg bagi setiap hektar termasuk racun rumpai, sama seperti yang tawarkan dalam peringkat satu SGM.
“Seterusnya bagi SGM peringkat tiga, empat dan lima, ia memfokuskan kepada insentif kepada pekebun kecil yang berjaya mencapai sasaran produktiviti yang ditetapkan,” jelasnya.
Malah, bagi memastikan sasaran produktiviti tersebut dicapai, RISDA memberikan bantuan berupa baja, bahan rangsangan, dan racun rumpai bernilai RM900 di Semenanjung dan RM1,000 di Sabah dan Sarawak.
Dalam pada itu, Ruzaini turut memaklumkan RISDA turut menyediakan insentif sebanyak RM400 kepada para pekebun kecil untuk mengaktifkan semula kebun getah tua yang kurang memberikan pulangan ekonomi.
“Selain itu, RISDA turut menyediakan bantuan tambahan Skim Insentif Lateks (SIL) dan Insentif Harga Lateks (HIL) bagi pekebun kecil yang berminat dalam pengeluaran lateks,” ujarnya yang mana RISDA turut memberikan insentif menerusi program Insentif Pengeluaran Getah Berkelompok (IPGB).
“Dalam pada masa yang sama, Program SGM ini turut melibatkan komponen SIL dan Kemudahan Infrastruktur Pemasaran (KIP),” ujar beliau yang mana RISDA juga turut membina kemudahan infrastruktur dan pusat pemprosesan getah sekerap dan lateks sekali gus memudahkan pemasaran bahan mentah itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!