Ahli Parlimen bantah anjur 'Minggu Solidariti Palestin' di sekolah
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin mempersoalkan keperluan menganjurkan program solidariti rakyat Palestin di institusi pendidikan terutama di sekolah.
Malah beliau menegaskan, Kementerian Pendidikan (KPM) seharusnya memberi fokus pendidikan kepada pelajar dan bukannya menjadikan sekolah sebagai tempat menganjurkan program sedemikian.
"Secara peribadi, saya rasa tiada masalah untuk kita bersolidariti menentang keganasan dan jenayah perang.
"Tetapi apa perlunya kita bawa perkara ini ke sekolah dan institusi pendidikan, melibatkan anak-anak yang harus fokus untuk mewacanakan pendidikan dan masa depan mereka.
"Saya juga tidak sokong Israel mahupun Hamas menggunakan kekerasan, sebab saya nobatkan keamanan sejagat. Tindakan KPM bukan tata kelola yang baik, tetapi ini bakal menghancurkan segala," katanya ketika mencelah perbahasan Datuk Ngeh Koo Ham (PH - Beruas) di Dewan Rakyat pada Khamis.
KPM menerusi kenyataan pada Khamis memaklumkan, Minggu Solidariti Palestin akan diadakan bermula 29 Oktober hingga 3 November ini dengan melibatkan semua institusi pendidikan bawah kementerian itu termasuk Kolej Vokasional, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru seluruh negara.
Program berkenaan bertujuan mendidik murid-murid nilai manusiawi yang turut merangkumi hak asasi manusia dan sifat ihsan, termasuk sikap empati serta keprihatinan terhadap penderitaan tanpa mengira bangsa, agama atau status sosial.
Dalam pada itu William berkata, kerajaan seharusnya mengorak langkah ke hadapan dalam memberi solidariti terhadap konflik yang berlaku.
"Ya, kerajaan kita 'walk the talk'. Mereka terlalu banyak bercakap, berjalan ke sana dan ke sini, tetapi tiada apa yang berlaku.
"Kita terus melangkah ke belakang. Ini bukan caranya," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!