58,500 wanita terima manfaat program WCaRe
KEPALA BATAS - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menyasarkan sebanyak 58,500 wanita memperoleh manfaat menerusi Program Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) tahun ini.
Pengerusi LPPKN, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, kementerian amat memandang serius isu membabitkan kesihatan wanita terutama kanser payudara, yang menjadi antara penyebab utama kematian dalam kalangan wanita.
Justeru, katanya inisiatif kerajaan yang memperkenalkan program itu dapat membantu wanita untuk membuat pengesanan awal seterusnya membolehkan kanser dirawat dan diselamatkan.
"Di bawah kempen WCaRe ini, para wanita boleh membuat saringan kanser payudara melalui ujian mamogram yang ditawarkan secara percuma (bagi yang layak), manakala saringan kanser serviks melalui ujian HPV DNA dan boleh dilakukan di semua 49 klinik Nur Sejahtera di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
"Sepanjang pelaksanaan program yang bermula Januari hingga 30 Sept lepas, sebanyak 489,389 ujian mamogram telah dilakukan di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Sambutan Pink October: Bulan Kesedaran Kanser Payudara LPPKN 2023 Peringkat Pulau Pinang di Pusat Keluarga LPPKN Pulau Pinang pada Khamis.
Rohani dalam pada itu berkata, berdasarkan Laporan Kanser Kebangsaan 2012-2016 menunjukkan peratusan kes kanser yang dikesan pada tahap 3 dan 4 menunjukkan peningkatan dari 43.2 peratus kepada 47.9 peratus.
Beliau berkata, trend itu dilihat amat membimbangkan dan berkemungkinan lebih ramai wanita dikesan menghidap kanser pada tahap lewat terus meningkat sekiranya tidak menjalani ujian saringan awal
Melalui program WCaRe ini, beliau berkata, lebih ramai wanita diharap akan lebih peka dan sedar mengenai kepentingan menjaga kesihatan khususnya berkaitan kesihatan payudara.
"Dalam Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan peruntukan RM6 juta untuk meneruskan program saringan payudara (ujian mamogram) dan RM5.5 juta saringan kanser serviks (ujian HPV DNA).
"Ini jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan hari ini terhadap kesihatan wanita dan kita amat menghargainya,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!