869 anggota, pegawai APM Perak sedia hadapi banjir
IPOH - Seramai 869 pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perak bersiap siaga bagi menghadapi banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal berlaku pertengahan November ini hingga Mac tahun depan.
Timbalan Pengarah APM Perak Leftenan Kolonel (PA) Mohammad Azwani Kusnin berkata, kesemua anggota berkenaan ditempatkan di 12 daerah melibatkan 171 hotspot yang telah dikenal pasti.
"Bagi melancarkan operasi, sebanyak 41 buah kenderaan darat pelbagai jenis membabitkan lori, kereta pacuan empat roda, ambulans serta van, selain 56 kenderaan air boleh digerakkan pada bila-bila masa mengikut keperluan.
"Daripada sudut operasi, kita bukan hanya bertindak untuk menyelamatkan mangsa yang terjejas untuk ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) malah pada masa sama pemantauan turut dilakukan berkaitan kadar peningkatan paras air sungai," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Khamis.
Terdahulu, Pengarah Bahagian Pengurusan Latihan APM Kol (PA) Fazlisyah Muslim dalam kenyataan menegaskan lebih 13,000 anggotanya bersedia digerakkan dalam tempoh 24 jam ke seluruh negara bagi menghadapi bencana banjir.
Beliau turut memaklumkan jumlah itu akan bertambah mengikut keperluan selain penglibatan sukarelawan terlatih dan pasukan bantuan pertahanan awam (CDA).
Sementara itu, Mohammad Azwani berkata, setakat ini pemantauan khusus diberikan terhadap daerah Kerian dan Hilir Perak memandangkan kedua-dua lokasi tersebut sering dinaiki air setiap kali musim MTL.
"Terdapat 17 'hotspot' di Kerian dan 11 (hotspot) di Hilir Perak yang kita akan buat pemantauan khusus kerana melalui dapatan yang diterima jumlah tertinggi mangsa terjejas datangnya dari kedua-dua daerah ini.
"Namun begitu, di kawasan berisiko yang lain pemantauan berkala tetap dilakukan bergantung kepada situasi pada waktu itu sama ada memerlukan pertambahan anggota atau sebaliknya," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai terutama di kawasan yang terjejas diharap sentiasa berwaspada dan mendapatkan bantuan daripada agensi terlibat demi memastikan langkah penyelamatan dilakukan lebih awal.
"Saya minta masyarakat di kawasan banjir berlaku supaya jangan panik, berhati-hati dan paling penting selamatkan dokumen-dokumen diri terutama kad pengenalan untuk memastikan kelancaran sekiranya terpaksa dipindahkan ke PPS berhampiran," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!