Polis kesan pemandu Proton Wira punca kemalangan, tiga maut
SERENDAH - Polis sedang mengesan pemandu kereta Proton Wira yang menyebabkan kemalangan dua buah lagi kenderaan di Kilometer 38 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, dekat sini pada Khamis.
Dalam kejadian tersebut, pemandu terbabit tidak berjaya memotong kenderaan di hadapannya menyebabkan berlaku kemalangan sehingga tiga individu maut.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 10.55 pagi melibatkan Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki berusia 62 tahun dan Toyota Avanza dipandu seorang lelaki berusia 68 tahun, selain Proton Wira yang mana pemandunya masih belum dikenal pasti.
"Jantina dan bangsa bagi pemandu kereta Proton Wira masih belum dikenal pasti.
"Pemandu Proton Wira tersebut dipercayai bertindak melarikan diri selepas berlaku kemalangan.
"Sehubungan itu, polis sedang mengesan pemandu Proton Wira dan kejadian masih dalam siasatan," katanya pada Khamis.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa pemandu Perodua Axia dalam perjalanan dari Serendah menuju ke Batang Kali.
Katanya, setiba di tempat kejadian, pemandu Proton Wira yang datang dari arah bertentangan disyaki cuba memotong kenderaan di hadapannya.
Menurutnya, pemandu Perodua Axia cuba mengelak, namun melanggar bahagian kanan kereta Proton Wira
Jelasnya, akibat daripada pelanggaran itu, Perodua Axia berpusing dan kemudiannya dilanggar dari arah belakang oleh Toyota Avanza.
Menurut beliau, pemandu Perodua Axia bersama penumpang dan pemandu Toyota Avanza maut di tempat kejadian.
"Namun penumpang Toyota Avanza mengalami kecederaan pada bahagian mata dan dibawa ke Hospital Selayang dan tiga mangsa yang maut dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu," ujarnya.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat dan melihat kejadian itu diminta tampil membantu polis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!