Dua pemimpin DAP terima gelaran Datuk bakal kena tindakan
KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP akan mengenakan tindakan tegas terhadap dua pemimpinnya kerana menerima gelaran Datuk ketika masih berkhidmat sebagai wakil rakyat.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, dua pemimpin terbabit iaitu Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Fong Hin dan Setiausaha DAP Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Phoong Jin Zhe bakal dikenakan tindakan kerana melanggar dasar parti, yang melarang ahlinya menerima gelaran dan anugerah ketika masih memegang jawatan.
Menurutnya, pada 25 Oktober lalu, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP telah bersidang untuk membincangkan isu dua wakil rakyat terbabit yang dianugerahkan gelaran Datuk.
“Justeru, CEC menegur sekeras-kerasnya saudara Chan Foong Hin dan saudara Phoong Jin Zhe kerana melanggar dasar parti.
“CEC DAP mengulangi pendirian kami bahawa semua wakil rakyat harus menumpukan perkhidmatan kepada rakyat dan hanya perlu dipertimbangkan untuk sebarang anugerah selepas bersara daripada jawatan yang dipilih,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Anthony Loke berkata, DAP merakamkan ucapan terima kasih kepada Raja-Raja dan Yang Dipertua Negeri atas semua penganugerahan gelaran dan pingat dan akan terus menjunjung tinggi institusi diraja melalui perkhidmatan kepada negara dan rakyat.
Sebelum ini Foong Hin dalam kenyataannya bersedia menerima segala keputusan pucuk pimpinan parti itu susulan tindakannya menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri.
Foong Hin yang juga Ketua Biro Dasar DAP Sabah menerima darjah kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Jadi Rasmi Ke-70 Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu 7 Oktober lalu.
Beliau memberi alasan sukar untuk menolak pemberian pingat terbabit berikutan ia dianugerahkan kerajaan negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!