Macau Scam: Penghantaran pulang baki 37 rakyat Malaysia secara berperingkat
PUTRAJAYA - Penghantaran pulang baki 37 orang rakyat Malaysia yang merupakan mangsa pemerdagangan manusia sindiket Macau Scam yang diselamatkan pihak polis Republik Peru sejak 7 Oktober akan dilaksanakan secara berperingkat.
Menurut kenyataan Kementerian Luar pada Khamis, kumpulan mangsa tersebut dijadualkan tiba di tanah air secara berkumpulan pada 28, 29, 30 Oktober dan 1 November ini.
Kumpulan pertama seramai tiga orang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis, melalui penerbangan KLM Royal Dutch Airlines KL 805.
"Pada masa yang sama, tiga warganegara Malaysia masih ditahan oleh pihak berkuasa Peru untuk proses siasatan lanjut berdasarkan undang-undang tempatan.
"Kementerian merakamkan penghargaan kepada kerajaan Peru atas kerjasama baik yang telah diberikan dalam usaha menyelamatkan warganegara Malaysia dan mempercepatkan proses penghantaran pulang mangsa ke Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Lima, Peru akan terus memantau perkembangan kes ini dan menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!