Ekstrak thorium ke Australia sebelum bawa ke negara ini - Bekas MP
KUANTAN - Bekas Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack meminta supaya kerajaan menetapkan Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) mengekstrak thorium di Australia sebelum menghantar bahan mentah itu ke negara ini.
Beliau berkata sedemikian susulan kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berhubung kajian awal yang 'terbukti' dijalankan di peringkat makmal, boleh digunakan untuk mengekstrak thorium daripada bahan mentah dan bahan buangan Lynas.
"Jika thorium boleh diekstrak daripada bahan mentah Lynas, maka beliau (Lih Kang) mesti memaksa Lynas menyelesaikannya di Australia terlebih dahulu sebelum menghantar bahan mentah mereka ke sini.
"Kita juga boleh menjual kepakaran kepada Australia. 'Pakar' kita boleh memperoleh beberapa dolar Australia.
"Kadar pertukaran yang baik sekarang saya percaya," kata beliau dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau yang juga Pengerusi Himpunan Hijau berkata, dengan cara tersebut rakyat di negara ini dilindungi daripada berdepan dengan risiko pengumpulan sisa radioaktif.
"Beliau (Lih Kang) juga berkata jika beliau membenarkan Lynas untuk terus mengimport lantanida dan menjalankan proses keretakan dan larut lesap di sini, maka Lynas akan menangani longgokan besar-besaran sisa radioaktif.
"Selepas 12 tahun mendengar cerita dongeng sebegini, dibohongi, janji yang tidak terkira banyaknya dan penguatkuasaan yang gagal, apakah yang membuatkan beliau percaya bahawa Lynas tidak akan mengingkari janji mereka lagi dalam tempoh dua tahun akan datang?" soal beliau.
Jelas Wong Tack, berdasarkan pengalaman selama 12 tahun, beliau cukup yakin, dua tahun dari sekarang, akan ada satu lagi longgokan besar sisa radioaktif ditambah kepada jutaan tan sedia ada.
"Saya tidak syak lagi menteri tersebut menyedari sepenuhnya kebimbangan rakyat berhubung isu Lynas.
"Beliau adalah salah seorang daripada ramai ahli politik yang berdiri bersama gerakan anti-Lynas selama ini.
"Kini setelah beliau berkuasa, beliau mesti menegakkan prinsipnya dan menjalankan tugas menterinya untuk melindungi negara dan rakyat ini," tambah Wong Tack.
Sebelum ini, kerajaan melanjutkan syarat lesen operasi Lynas sehingga Mac 2026 dengan menetapkan syarat baharu bagi membolehkan syarikat itu terus beroperasi di negara ini.
Lih Kang dilaporkan berkata, perkara itu diputuskan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) selepas membuat pertimbangan untuk mengemas kini syarat lesen operasi Lynas yang sedang berkuat kuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!