Remaja langgar wanita akan didakwa, siasatan turut bongkar 'kes rogol'
ALOR SETAR - Polis Kedah membuka kertas siasatan terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun yang memandu kereta tanpa lesen sehingga mengakibatkan kemalangan maut melibatkan seorang peniaga di Jalan Kuala Kedah, Ahad lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kini hanya menunggu keputusan timbalan pendakwa raya untuk pertuduhan di mahkamah.
Dalam kejadian pada jam 7.05 malam Ahad lalu, seorang wanita, Nur Shafiqah Abdullah, 32, maut setelah motosikal dinaiki bersama kakaknya, Nooraliza, 43, dirempuh kereta jenis Proton Satria dipercayai dipandu remaja terbabit.
Difahamkan, kereta milik rakan ibu remaja berkenaan hilang kawalan lalu terbabas melanggar pembahagi jalan, sebelum masuk ke laluan bertentangan dan merempuh motosikal dinaiki mangsa.
Mengulas lanjut Fisol berkata, ujian urin dijalankan terhadap remaja tersebut mendapati dia negatif dadah.
Katanya, ketika ini remaja tersebut berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
ARTIKEL BERKAITAN:Wanita maut dirempuh pemandu remaja 14 tahun
Dalam pada itu, Fisol mendedahkan, siasatan terhadap remaja itu turut membongkar hubungan seks dilakukan dua lelaki dengannya, sebelum ini.
"Polis menjalankan siasatan berasingan bagi kes berkenaan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol berikutan status remaja itu yang masih bawah umur.
"Pihak polis telah menahan seorang suspek malam tadi dan sedang memburu seorang lagi lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes rogol tersebut," katanya pada sidang media di sini pada Khamis.
Sementara itu, Fisol berkata, hingga kini pihaknya menerima lebih 140 laporan kes rogol melibatkan remaja bawah umur di Kedah, pada tahun ini.
"Peningkatan yang sangat drastik di negeri Kedah, hingga sekarang kita sudah ada 140 lebih kes rogol bawah umur yang mana dalam penyiasatan kita mendapati ia berlaku kerana suka sama suka... tetapi oleh kerana di bawah umur ia menjadi kesalahan jenayah," katanya. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!