Taktik keji Zionis

Orang ramai berebut membeli roti ketika bekalan tepung semakin berkurangan di Khan Younis. - Foto Agensi
Orang ramai berebut membeli roti ketika bekalan tepung semakin berkurangan di Khan Younis. - Foto Agensi
A
A
A

LONDON - Badan amal Oxfam berkata kelaparan digunakan oleh Israel sebagai senjata perang terhadap orang awam di Genting Gaza yang dikepung.

Kumpulan hak asasi yang berpangkalan di United Kingdom (UK) itu berkata, sejak Lintasan Rafah dibuka, kurang dua peratus trak membawa bekalan makanan dibenar memasuki Gaza.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini memberi amaran Gaza bakal berdepan malapetaka kemanusiaan selepas Israel memutuskan bekalan air, makanan, elektrik dan bahan bakar ke wilayah tersebut.

Selain pengepungan penuh, rejim aparteid Zionis turut melancarkan serangan udara dahsyat ke atas Gaza sebagai tindakan 'mempertahankan diri' susulan Operasi Taufan al-Aqsa oleh Hamas pada 7 Oktober lalu.

"Di manakah nilai kemanusiaan? Orang awam dihukum secara kolektif dan tiada alasan untuk menggunakan kelaparan sebagai senjata perang.

"Pemimpin dunia tidak boleh berdiam diri dan menutup mata tentang jenayah perang dilakukan Israel," kata Pengarah Wilayah Tengah Oxfam, Sally Abi Khalil.

Tambah Oxfam, lebih 15,000 petani telah kehilangan hasil tanaman dan 10,000 penternak tidak mempunyai akses kepada makanan ternakan dengan ramai yang kehilangan haiwan mereka.

Oxfam berkata bahawa kepungan itu, digabungkan dengan serangan udara, telah melumpuhkan industri perikanan dengan ratusan nelayan kehilangan akses ke laut.

Artikel Berkaitan:

Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL) melarang keras penggunaan kelaparan sebagai kaedah peperangan.

Pada 2018, Majlis Keselamatan PBB (UNSC) menerima pakai resolusi 2417 yang sebulat suara mengecam penggunaan kebuluran terhadap orang awam sebagai kaedah peperangan dan mengisytiharkan sebarang penafian akses kemanusiaan sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!