Ubati kerinduan peminat, Ruffedge lancar dua lagu baharu

Semangat kumpulan itu kembali membara sejak kejayaan mereka mengadakan Konsert Ruffera That Moment In Time yang berlangsung di Kuala Lumpur dan Singapura beberapa bulan lalu.
Semangat kumpulan itu kembali membara sejak kejayaan mereka mengadakan Konsert Ruffera That Moment In Time yang berlangsung di Kuala Lumpur dan Singapura beberapa bulan lalu.
A
A
A

JIKA kebiasaannya penyanyi akan melancarkan sebuah single pada satu masa, tetapi kumpulan yang masih berpengaruh dalam industri muzik, Ruffedge memilih jalan berbeza.

Kumpulan dianggotai Zain Hamid, Sein, Azan, Mode, dan Cat Farish meluahkan keterujaan dengan buah tangan terbaharu mereka sekali gus mengubati kerinduan peminat menerusi dua buah lagu iaitu Belenggu dan Putus.

Lebih istimewa, lagu Putus menyaksikan kolaborasi bersama Lah Ahmad sebagai penampilan istimewa dalam single itu.

Lah Ahmad turut menyumbang suara untuk lagu Putus.
Lah Ahmad turut menyumbang suara untuk lagu Putus.

Lagu Belenggu dan Putus menampilkan Suffren Ghafar selaku penerbit buat peminat kumpulan yang diasaskan pada tahun 1998 itu.

"Putus, seperti tajuknya menggambarkan tentang perasaan yang berakhir dan pastinya membawa emosi yang sangat berat dalam lagu ini.

"Lagu ini mengetengahkan genre R&B diharap dapat mengembalikan semula zaman kegemilangan muzik Ruffedge sebagai salah sebuah kumpulan berpengaruh di Malaysia," ujar Azan.

Menyentuh mengenai single Belenggu, Cat Farish berkata, peka dengan isu semasa dan sosial yang melanda masyarakat sejak kebelakangan ini, menyebabkan ramai cenderung untuk menyimpan perasaan mereka sendiri.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia sekali gus boleh memberikan kesan negatif kepada individu berkenaan. Oleh itu, Ruffedge mengambil inisiatif untuk mencipta lagu Belenggu sebagai satu wadah untuk mengungkapkan perasaan yang dialami oleh individu yang berdepan situasi tersebut.

"Dengan pelancaran lagu Belenggu, kami ingin berkongsi mengenai perasaan dan pengalaman emosi yang mungkin dialami oleh segelintir pihak. Lagu ini juga bertujuan memberi ruang dan inspirasi yang positif kepada yang mengalami hal yang sama," jelasnya.

Belenggu menyuntik nafas baharu kerana menonjolkan elemen unik yang belum pernah didengari sebelum ini.

Bagaimanapun, lagu ini tetap memelihara keaslian Ruffedge untuk kekal relevan dalam trend muzik era terkini.

“Semoga lagu Belenggu dan Putus dapat diterima oleh pelbagai lapisan pendengar bagi menjadikan lagu kami sebagai sumber inspirasi yang positif pada masa akan datang.

"Insya-ALLAH kami akan terus berinovasi dalam menghasilkan karya-karya yang baik dan berkualiti untuk peminat setia yang telah lama menantikan karya terbaharu daripada kami,” ujar Azan.

Lagu ‘Belenggu’ dan ‘Putus (penampilan Lah Ahmad) boleh dimuat turun dalam aplikasi digital iTunes dan didengari di semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!