Pelajar cemerlang mangsa roket Israel
KHAN YOUNIS - Shaimaa Akram Saydam sepatutnya melanjutkan pelajarannya di Universiti Islam Gaza, di mana dia mahu mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam terjemahan bahasa Inggeris.
Gadis berusia 17 tahun itu membanggakan keluarganya apabila muncul sebagai pelajar terbaik dalam Peperiksaan Menengah Am Palestin 2023.
Pada Julai lalu, kediamannya di Kem Pelarian Al Nuseirat dipenuhi sanak saudara yang meraikan kejayaannya dalam peperiksaan tersebut.
Difahamkan, Shaimaa mencatatkan purata 99.6 peratus dalam peperiksaan tersebut dan markah itu telah membantu kemasukan ke program ijazah universiti pilihannya.
Namun, minggu lalu Israel membedil Kem Pelarian Al Nuseirat dan serangan tersebut turut meranapkan rumah keluarga gadis berkenaan.
Dalam kejadian itu, Shaimaa terbunuh bersama ibunya membuktikan Israel tidak mempedulikan nyawa orang awam dalam serangan ke atas Gaza yang disebut Tel Aviv sebagai tindakan mempertahankan diri. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!