Nizam Laksamana terus bantu rakan seindustri
PENYANYI Nizam Laksamana meneruskan Showcase Amal Artis Legenda 4.0 meskipun pernah berhasrat untuk menjadikan showcase sebelum ini sebagai program terakhir di bawah syarikat produksi miliknya.
Jelas Nizam atau nama sebenarnya Mohd Nizam Pechok, 56, biarpun berdepan dengan masalah untuk mendapatkan penaja, kesusahan yang dilalui oleh rakan seindustri membuatkan dia terpanggil untuk membantu.
"Ramai kawan-kawan yang memerlukan bantuan kewangan sekarang. Nak kata bantu satu industri itu belum mampu, tetapi kita ada beberapa nama yang kita cadang untuk salurkan bantuan daripada jualan meja showcase ini nanti.
"Atas sebab itu saya terpanggil untuk adakan sekali lagi showcase amat ini, dengan tema Dari Kawan Untuk Kawan," katanya kepada Sinar Harian.
Biarpun sukar mendapatkan penaja, Nizam berkata, dia masih berharap ada pihak yang sudi menghulurkan tajaan atau bantuan yang berkaitan.
Malah bekas peserta Gegar Vaganza musim kedua itu berterima kasih kepada pihak hotel yang banyak membantu melancarkan perancangan showcase yang dijangka berlangsung pada 1 Jun 2024.
"Pengalaman dari showcase amal yang pertama lagi, saya memang sukar mendapatkan tajaan. Walau bagaimanapun, saya masih berharap ada pihak sudi menaja showcase ini nanti.
"Selain itu saya juga berharap dapat bekerjasama dengan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) dan turut merancang menyalurkan hasil showcase itu nanti ke tabung Cancer Survivor Malaysia," ujarnya.
Selain Nizam yang akan membuat persembahan, Showcase Amal itu turut disertai Zamani Slam, Zarul Umbrella, Ameng Spring, Shafie Rio, Acong Sweetchild, Tam Spider, Mawi, Ady Wow dan Dwen.
Showcase Amal Artis Legenda 4.0 akan berlansung pada 1 Jun 2024, jam 8 malam di Grand Barakan Ampang.
Jualan meja sudah mula di buka meliputi Meja Mesra Kawan dengan harga RM2,500 (10 tempat duduk) dan Meja Mesra VIP RM5,000 (10 tempat duduk).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!