Sumpah laknat: Saya umum dua hari lebih awal tapi tiada bantahan, kata Najib

Jumaat lalu Najib melafazkan Sumpah Mubahalah di Masjid Jamek Kampong Bharu bagi menafikan dakwaan beliau mengeluarkan arahan membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Jumaat lalu Najib melafazkan Sumpah Mubahalah di Masjid Jamek Kampong Bharu bagi menafikan dakwaan beliau mengeluarkan arahan membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tiada pihak yang melakukan bantahan sebelum ini sedangkan beliau mengumumkan hasrat melakukan sumpah laknat di Masjid Jamek Kampong Bharu dua hari lebih awal.

Menurutnya, tiada pihak berkuasa agama seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan pejabat Mufti Wilayah menyatakan bantahan mengenainya.

“Saya sengaja umumkan untuk bersumpah dua hari lebih awal. Tujuan saya buat begitu adalah memberi ruang untuk pihak berkuasa agama seperti Jawi dan Mufti Wilayah membantah atau menghalang saya.

“Ini bukan kali pertama saya lakukan begini. Saya pernah mengumumkan untuk bersolat Jumaat di Masjid Ar-Rahman (Universiti Malaya) lebih awal. Namun atas kesukaran dari pentadbiran masjid, saya batalkan hasrat dan tunaikan solat di Masjid Kerinchi yang berhampiran.

“Ya, saya orang yang mudah dibawa bincang. Jika ada bantahan awal, sudah pasti saya akan menarik kembali hasrat saya. Malangnya tiada,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Jumaat lalu Najib melafazkan Sumpah Mubahalah di Masjid Jamek Kampong Bharu bagi menafikan dakwaan beliau mengeluarkan arahan membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Najib melafazkan Sumpah Mubahalah itu selepas menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan hari ini sambil disaksikan lebih 1,000 jemaah.

Menurutnya, selepas dua hari bersumpah, Jawi dan pejabat Mufti Wilayah Persekutuan secara serentak mengeluarkan kenyataan.

Artikel Berkaitan:

“Mungkin ianya kebetulan. Walaupun begitu, saya tetap mengambil nasihat dan kritikan dengan hati yang terbuka.

“Hati saya cukup berat, ya mungkin ALLAH bagi saya petunjuk kepada saya bahawa isu bersumpah akan menjadi polemik besar,” katanya.

Sementara itu, Najib juga turut berkongsi doa yang pernah dibacakan oleh sahabat Nabi, Saad bin Abi Waqqas.

"... Demi Tuhan yang diriku dalam genggaman-Nya dan Demi Tuhan yang diri Muhammad dalam genggamanMu.

“Ya ALLAH! Aku berdoa sebagaimana doa yang diucapkan oleh Saad bin Abi Waqqas terhadap mereka yang telah memfitnah, berdusta dan cuba menganiaya diriku,

“Ya ALLAH Azza wa Jalla, jika mereka itu berdusta, berdiri kerana riya' atau sum'ah, maka panjangkanlah umurnya, jadikan kehidupan mereka dalam kefakirannya dan hadapkanlah dia kepada fitnah dan pembalasan-Mu Ya Allah.

“Ya ALLAH! Sekiranya aku tidak bersalah dan tuduhan mereka itu ternyata dusta, timpakanlah laknat-Mu ke atas mereka dan timpakanlah laknat-Mu ke atas ahli keluarga mereka. Sesungguhnya azab Mu amat berat sekali...."

“Ya, anda lebih faqeh dalam bidang agama. Dan anda lebih tahu kesan doa orang teraniaya,” kata Najib.

Beliau melakukan sumpah laknat di Masjid Jamek Kampong Bharu selepas solat Jumaat.

Tindakannya itu susulan dakwaan oleh bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri bahawa Najib telah mengarahkan pembunuhan Altantuya pada 2006.

ARTIKEL BERKAITAN Sumpah laknat tiada dalam perundangan Islam: Mufti Wilayah Persekutuan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!