Murid Tahun Empat cedera, kereta tak sempat berhenti
ALOR GAJAH - Seorang murid lelaki Tahun Empat di terpaksa menahan kesakitan selepas bergesel dengan sebuah kereta di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Daun dekat sini pada Khamis.
Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, mangsa yang berusia 10 itu mengalami retak pada bahagian bahu dan kaki kiri.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah, sedang melintas jalan di hadapan sekolah bersama murid lain.
Beliau berkata, bagaimanapun sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun datang secara tiba-tiba dari arah Lendu Ke Masjid Tanah dan tidak sempat memberhentikan kenderaan serta mengelak mangsa.
"Akibatnya mangsa bergesel pada bahagian cermin sisi sebelah kanan kenderaan itu dan mengalami kecederaan manakala pemandu kereta yang bekerja sebagai peniaga tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan lanjut dan telah dirawat di zon hijau," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.
Jelasnya, ketika kejadian keadaan jalan kering dan cuaca baik selain terdapat garisan kuning lintasan pejalan kaki serta lampu isyarat berfungsi dengan baik
"Kemalangan kerana faktor manusia yang gagal Mengawal kenderaan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 43(1) APJ 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!