Harap muka cantik tapi perangai hodoh
BANYAK kali Merak Jalanan baca kisah dan ragam penyewa yang macam-macam perangainya. Ada yang okey, ada yang boleh buat kita mengucap panjang.
Tapi tak sangka pula kisah ‘penyewa dari neraka’ benar-benar terjadi ke atas rakan Merak Jalanan sendiri.
Haru-biru hidupnya dek sikap penyewa yang terpelajar tapi tak tahulah otaknya simpan di mana.
Kisahnya, rakan Merak Jalanan sewakan flat dua bilik kepada tiga pelajar perempuan yang menuntut di sebuah kolej swasta.
Muka cantik, lemah lembut, dan berbudi bahasa. Memang pakej çalon menantu pilihan.
Sepanjang menyewa hampir setahun tak ada pula dapat aduan kalau paip tersumbat atau siling bocor.
Semuanya baik-baik sahaja sehingga tuan rumah rasa bertuahnya dapat penyewa ‘budiman’.
Dia pula bukanlah jenis suka-suka nak buat sport check di rumah sewa.
Tak nak ganggu privasi penyewa. Bersangka baik asalkan duit sewa masuk setiap bulan ke dalam akaun.
Namun, yang indah-indah itu rupanya palsu. Luaran cantik tapi bila dibongkar sangatlah jijik.
Dua bulan sebelum kontrak menyewa tamat, bermulalah episod ngeri tuan rumah.
Sewa tak dibayar, telefon tak berjawab dan kemuncaknya panggilan pun kena sekat dengan penyewa.
Rupa-rupanya penyewa cantik jelita dah cabut lari. Rumah ditinggalkan begitu sahaja.
Tunggang-langgang, perabot banyak yang rosak, tandas berlumut hijau, lantai melekit dan sampah-sarap bertimbun tak dibuang.
Memang tak sangka dapat penyewa perempuan pengotor.
Mujurlah ada deposit. Dapatlah juga digunakan untuk upah cuci rumah dan baiki kerosakan tapi tak pulang modal.
Nak cantikkan semula rumah lagi tinggi kosnya daripada deposit yang ada.
Kasihan mengenangkan nasib rakan Merak Jalanan tapi itulah antara cabaran dihadapi jika sewakan rumah.
Kepada penyewa pula, janganlah aniaya tuan rumah. Seperti konsep kita pinjam sesuatu, pulangkan dalam keadaan yang sama seperti waktu kita meminjam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!