Sinar Harian rakan media 'Mega Road-Tour Himpunan 1,000,000 Pembela Palestin'
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sinar Harian dilantik sebagai rakan media rasmi program Mega Road-Tour Himpunan 1,000,000 Pembela Palestin anjuran Serantau Muslim dan MyAqsa Defenders yang akan dimulakan di Melaka pada Ahad ini.
Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, kolaborasi itu sebagai tanda sokongan dan solidariti Sinar Harian yang sememangnya menyokong usaha membela rakyat Palestin apatah lagi situasi di Gaza ketika ini adalah yang terburuk sepanjang konflik Palestin-Israel tercetus.
"Kolaborasi ini juga rentetan kesinambungan program #QuranHour for Gaza yang kita anjurkan bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan kerjasama Serantau Muslim pada Ahad lalu.
"Jadi Sinar Harian mengambil peluang ini untuk menyokong sepenuhnya usaha daripada Serantau Muslim dan MyAqsa Defenders bagi menyatakan pendirian bahawa kami juga mengecam sekeras-kerasnya apa juga tindakan yang telah dilakukan oleh rejim Zionis," katanya pada Khamis.
Selaku media pilihan nombor satu rakyat Malaysia, Nik Justin menegaskan, Sinar Harian mengambil tanggungjawab untuk ke depan dan menyediakan platform menguar-uar dan melaporkan program itu agar segenap lapisan masyarakat dapat memahami keadaan sebenar konflik Palestin-Israel serta mengetahui ada banyak cara menentang rejim Zionis.
"Ini adalah salah satu cara Sinar Harian sebagai platform media untuk menyokong usaha-usaha Serantau Muslim dan MyAqsa Defender dan semua usaha yang bersesuaian dengan prinsip akhbar ini," ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor menjelaskan, objektif program jelajah berkenaan dianjurkan untuk menyambut gelombang yang telah dimulakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menunjukkan solidariti rakyat Malaysia bersama membela nasib rakyat Palestin.
"Ia juga untuk memberi tekanan kepada Israel dan negara-negara barat agar menghentikan serta-merta peperangan di Gaza.
"Selain itu, ia bagi menyatukan seluruh rakyat dalam usaha memberi bantuan atau menunjukkan satu suara terbuka kepada perjuangan di Palestin," kata beliau.
Mohd Hakim menambah, menerusi penganjuran program itu pihaknya mahu membuktikan secara fizikal bahawa sejuta rakyat boleh berhimpun dan memberi sokongan kepada Palestin.
"Program akan dimulakan di Melaka dan akan diteruskan di lima buah negeri yang lain membabitkan Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan dalam tempoh sehingga Disember depan.
"Kita pilih Melaka sebagai lokasi pertama himpunan ini atas banyak faktor tetapi salah satunya kerana semangat orang-orang Melaka sendiri yang menunjukkan solidariti dan kebetulan Serantau Muslim sendiri yang menjadi salah satu anggota pertubuhan MyAqsa Defenders beroperasi di Melaka.
"Kita juga mengambil semangat Kesultanan Melayu Melaka sendiri. Kebangkitan kali ini adalah kebangkitan akidah dan agama, kefahaman tentang pembebasan Masjid Al-Aqsa dan Palestin bermula dengan ilmu di mana Melaka sendiri subur dengan majlis ilmu," ulasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!