Keadilan untuk rakyat Palestin satu-satunya jalan penyelesaian

Riyad Mansour - Foto AFP
Riyad Mansour - Foto AFP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Riyad Mansour, Pemerhati Tetap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Negara Palestin berkata, keadilan untuk rakyat Palestin adalah satu-satunya jalan penyelesaian bagi konflik semasa dan bukannya keganasan berterusan.

Riyad, yang pertama untuk berucap dalam Sidang Khas Tergempar Ke-10 Perhimpunan Agung PBB mengenai konflik Israel-Gaza di New York pada Khamis, menyeru negara-negara anggota supaya mengundi untuk menghentikan keganasan daripada berterusan, memperjuangkan keadilan di sebalik dendam, dan keamanan di sebalik perang.

Beliau berkata, tidak ada apapun yang mewajarkan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

"Jawapan kepada pembunuhan warga Israel dan Palestin bukanlah pembunuhan berterusan. Undilah untuk menghentikan pembunuhan, undilah untuk menghentikan kegilaan ini. Undilah untuk mengakhiri hampir tiga minggu pilih kasih dan ketidakadilan terburuk yang kita pernah lihat dalam beberapa dekad ini.

"Mengapa tiada kesanggupan untuk mengakhiri segera pembunuhan," soalnya.

Riyad, yang juga dengan emosi menceritakan tragedi yang dialami oleh banyak keluarga Palestin dalam konflik itu, menunjukkan bahawa hampir 1,000 orang Palestin dibunuh setiap hari.

"Sementara kita berkumpul di sini orang Palestin di Gaza di hujani bom. Anda bercakap sementara keluarga dibunuh, sementara hospital berhenti beroperasi, sementara kawasan-kawasan hancur, sementara orang ramai melarikan diri dari satu tempat ke tempat lain tanpa tempat selamat untuk pergi.

"Tidak ada masa untuk berduka," katanya yang sebak, menunjukkan peningkatan jumlah kematian setiap hari.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Presiden Perhimpunan Agung PBB, Dennis Francis dalam ucapan pembukaannya berkata, keganasan dalam konflik Israel-Palestin harus berakhir, dan gencatan senjata serta pembukaan segera dan tanpa syarat koridor bantuan kemanusian adalah penting.

Francis berkata, beliau sangat tertekan dan dukacita dengan peristiwa yang berlaku di Israel dan Palestin.

"Semua pihak yang terlibat dalam konflik ini harus mematuhi Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa dan perlu segera membenarkan pembukaan koridor kemanusiaan ke Semenanjung Gaza," katanya, sambil menekankan bahawa bantuan yang sangat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa harus sampai kepada mereka yang memerlukan.

Bilangan kematian di pihak Palestin akibat serangan udara Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober meningkat kepada 7,028 orang, menurut Kementerian Kesihatan Gaza pada Khamis.

Penduduk Gaza yang berjumlah 2.3 juta orang semakin kehabisan makanan, air, ubat-ubatan, dan bahan bakar, dan konvoi bantuan yang dibenarkan masuk ke Gaza hanya membawa sebahagian kecil daripada apa yang diperlukan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!