Republic Kogeki B menang Cabaran Petrosains RBTX 2023
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pasukan Republic Kogeki B dinobat pemenang kategori Robo Sumo 3 kilogram (kg) selepas bertemu pasukan sama, Republic Kogeki A dalam aksi akhir Cabaran Petrosains RBTX 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Khamis.
Pasukan dari Kelab Robotik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks KLIA, Nilai itu membawa pulang wang tunai RM2,500 dan bakal meneruskan cabaran ke pertandingan robotik di Jepun pada Disember ini.
Guru penasihat kelab tersebut, Puan Suzana Adenan berkata, Cabaran Petrosains RBTX telah disertai sejak 2018 dan merupakan tahun ketiga layak menyertai pertandingan di Tokyo, Jepun.
Menurutnya, produk dihasilkan ditambah baik bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memberikan persaingan di peringkat antarabangsa terutama Jepun yang telah jauh ke hadapan dalam bidang berkenaan.
"Pertama kali ke Jepun pada 2018, kita kutip pengalaman, jadi pada tahun seterusnya kita tambah baik apa yang perlu supaya dapat capai piawaian ditetapkan dan setanding dengan negara-negara lain.
"Tahun 2019, kita dapat tempat ke-16 terbaik dan kali ini harap dapat naik podium.
"Sasaran itu tidak mustahil kerana berjaya menewaskan pasukan dari Mexico dalam pertandingan Penang International Robotic sekitar Jun lalu," katanya pada Khamis.
Beliau ditemui selepas selesai majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Ezarisma Azni Mohamad.
Ezarisma berkata, Cabaran Petrosains RBTX 2023 menerima penyertaan daripada 1,700 pasukan termasuk lebih 10 pasukan dari negara luar.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 240 pasukan layak meneruskan cabaran pada pertandingan akhir dalam lapan kategori dipertandingkan.
"Kami berbesar hati dapat menganjurkan pertandingan ini secara tahunan sebagai penyedia platform buat peminat robotik berkumpul, belajar dan menguji kehebatan robot yang dihasilkan.
"Ini juga memberi peluang buat peserta untuk mengasah inovatif dan kemahiran berfikir tahap tinggi agar dapat menyumbang dalam kepesatan landskap teknologi," katanya.
Sebanyak lapan kategori dalam pertandingan itu terdiri Robo Tracer Junior Robo Tracer Advance, Robo Tracer Open, Robo Sumo 1KG, Robo Sumo 3KG, Innovation Junior, Innovation Advance dan Innovation Open.
Program mendapat sokongan dan penajaan daripada daripada Yayasan Peneraju, OPITO, Bank Simpanan Nasional (BSN), Sustainable Energy Development Authority (SEDA), MyDIGITAL Corporation, Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti, Cytron Technologies dan FSI Japan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!