SMK Dato’ Harun mara bergaya separuh akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari

Pasukan SMK Dato’ Harun tepati ramalan ke separuh akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari. - Foto SMK Dato' Harun
Pasukan SMK Dato’ Harun tepati ramalan ke separuh akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari. - Foto SMK Dato' Harun
A
A
A

JUARA Piala Sumbangsih, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Harun, Tanjong Karang meneruskan momentum positif saingan Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 Tahun (B-18) selepas mengesahkan slot separuh akhir pada Khamis.

SMK Dato’ Harun yang merupakan naib juara musim lalu mara ke slot empat terbaik selepas membelasah SMK Seksyen 9, Shah Alam, 3-0 dalam aksi di padang sintetik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 28 Shah Alam.

"Alhamdulillah, syukur pemain-pemain kami bermain lebih baik berbanding perlawanan sebelum ini dan memahami taktikal serta melakukan penyudah yang lebih efisen.

"Kemenangan ini secara tidak langsung memberi motivasi kepada pemain-pemain supaya lebih bersedia mental dan fizikal berdepan pasukan terbaik di separuh akhir.

"Cumanya di sini, saya ingin nasihatkan pemain-pemain untuk tidak berasa selesa kerana ini bukan tempoh rehat, sebaliknya waktu refleksi dan membina kekuatan semua aspek pasukan," kata pengendali skuad bola sepak Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18, SMK Dato’ Harun, Tanjong Karang, Mohammad Zaki Kahar kepada Sukan Sinar Jumaat.

Keputusan Suku Akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18
Keputusan Suku Akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18

Sementara itu, hasrat penyandang juara SMK Shah Alam untuk mengekalkan kejuaraan sekali lagi tidak kesampaian apabila dihentikan pasukan SMK Seksyen 11, Shah Alam.

Kemaraan SMK Shah Alam berakhir selepas ditunjukkan jalan keluar 1-2 SMK Seksyen 11, dalam perlawanan yang berlangsung di padang Arena Seksyen 26, Shah Alam.

Artikel Berkaitan:

Turut mengesahkan kemaraan ke separuh akhir, SMK Jalan Kebun, Shah Alam yang menyingkirkan SMK Saujana Utama, Kuala Selangor menerusi penentuan sepakan penalti 4-2 setelah terikat 2-2 di padang Arena 26, Shah Alam.

SMK Meru, Kapar pula mengisi slot empat pasukan terbaik kejuaraan yang mendapat tajaan daripada Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad) berkenaan.

SMK Meru mara setelah menewaskan SMK Tinggi Kajang, Kajang, 5-3 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam perlawanan di padang sintetik MBSA Seksyen 28, Shah Alam.