AMK Selangor cadang beberapa penambahbaikan

Khairul Naim Rafidi
Khairul Naim Rafidi
A
A
A

SHAH ALAM - Penggunaan bahasa Melayu bagi urusan surat-menyurat di jabatan kerajaan bertepatan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor memaklumkan menyokong arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tegas menyatakan bahawa segala urusan surat-menyurat hendaklah menggunakan Bahasa Kebangsaan.

Ketua Biro Undang-Undang AMK Selangor, Khairul Naim Rafidi berkata, langkah itu juga dapat memupuk integrasi serta kejelasan komunikasi dalam kalangan masyarakat Malaysia.

"Kenyataan Perdana Menteri tersebut jelas mencerminkan sikap yang selari dengan Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan menyatakan bahawa segala urusan rasmi kerajaan harus menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantara.

"Malah, seksyen ini diperkuatkan lagi melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011," kata Khairul Naim dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam pada itu, AMK Selangor turut mengambil pendirian bahawa tindakan tegas tanpa apologetik juga penting bagi memelihara kedaulatan serta kedudukan bahasa Melayu yang merupakan identiti kebangsaan dalam negara.

Namun begitu, ujarnya, AMK Selangor percaya bahawa Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang mempunyai 11 peruntukan tersebut masih belum cukup komprehensif bagi memartabatkan bahasa Melayu.

Sehubungan dengan itu, AMK Selangor ingin mencadangkan beberapa penambahbaikan supaya ia seiring dengan hasrat dan semangat yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

"Pertama sekali, kerajaan perlu menyegerakan tindakan untuk mengangkat teks Perlembagaan Persekutuan versi bahasa Melayu sebagai teks rasmi dan berautoriti bagi menggantikan teks bahasa Inggeris supaya ia selari dengan Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan.

"Kedua, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 juga perlu diberikan nafas baru memandangkan tidak ada peruntukan jelas yang menyentuh implikasi seandainya mana-mana peruntukan di dalam akta tersebut gagal dipatuhi," katanya.

Katanya lagi, memandangkan kebergantungan terhadap bahasa Inggeris masih lagi tinggi di mahkamah, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, kerajaan perlu memberikan satu panduan yang lebih jelas supaya pengecualian dan kelonggaran yang terdapat dalam undang-undang tidak disalahgunakan.

"AMK Selangor berharap agar segala cadangan ini dapat dipertimbangkan supaya kedudukan Bahasa Kebangsaan dapat diangkat dan lebih 'bertaring'.

"Akhir sekali, AMK Selangor akan terus komited dalam usaha reformasi bagi membina sebuah negara bangsa yang selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!