Budak 7 tahun maut, bayi parah kereta dipandu ibu terbabas

Keadaan kereta dinaiki mangsa yang hilang kawalan dan melanggar penghadang jalan di Kilometer 57 Lebuh raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Lipis. - Foto ihsan PDRM
Keadaan kereta dinaiki mangsa yang hilang kawalan dan melanggar penghadang jalan di Kilometer 57 Lebuh raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Lipis. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

LIPIS - Seorang budak lelaki tujuh tahun maut dan bayi enam bulan cedera parah selepas kereta dinaiki bersama empat lagi ahli keluarga terlibat dalam satu kemalangan Kilometer 57, Jalan Lipis ke Merapoh, Central Spine Road (CSR) di sini, pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Muhammad Ali Anaqi Mohd Ilham, 7, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Lipis, 12.05 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Nor berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu ibu mangsa, Nursaryanie Sabri, 32, dikatakan hilang kawalan dan merempuh besi penghadang jalan di sebelah kiri sebelum terbabas.

Menurutnya, bapa Nursaryanie yang berusia 60 tahun, adiknya, bersama empat anaknya berusia antara enam bulan hingga tujuh tahun dalam perjalanan dari Pasir Puteh, Kelantan ke Kuala Lumpur.

"Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu kereta jenis Toyota Vios itu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar besi penghadang jalan di sebelah kiri jalan.

"Akibat kemalangan, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan seorang bayi lelaki berusia enam bulan yang berada di tempat duduk penumpang belakang mengalami kecederaan parah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian merupakan jalan lurus dan semasa kejadian keadaan permukaan jalan kering serta cuaca baik.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!