Sultan Johor dipilih Yang di-Pertuan Agong ke-17

Sultan Ibrahim - Foto Bernama
Sultan Ibrahim - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pada Jumaat dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun, berkuat kuasa 31 Januari 2024.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan pemilihan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara, hari ini.

Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Januari tahun depan.

Mesyuarat itu turut memilih Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja pada Jumaat yang dipengerusikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, dihadiri oleh semua Raja Melayu, kecuali Kelantan dan Perlis.

Kenyataan itu menyebut menurut peruntukan Paragraf 3, Bahagian Pertama, Jadual Ketiga Perlembagaan, keputusan Majlis Raja-Raja itu telah dikemukakan kepada kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

"YAB Perdana Menteri juga telah dimaklumkan," kata Syed Danial. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!