UMK, SUC Dubai jalin kerjasama strategik
KOTA BHARU - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) meningkatkan lebih banyak kerjasama akademik dan penyelidikan di peringkat antarabangsa dengan menandatangani surat niat (LoI) bersama Kolej Universiti Skyline (SUC), Dubai dan Universiti City, Sharjah di Emiriyah Arab Bersatu.
Majlis menandatangani LoI disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK, Prof Datuk Dr Nik Maheran Nik Muhammad dan Naib Canselor SUC, Prof Mohammad In' Airat di Dubai.
Nik Maheran berkata, dalam tempoh terdekat UMK dan SUC akan meneruskan perkongsian kepakaran mereka dalam beberapa bidang akademik serta penyelidikan yang dimeterai.
Beliau berharap lawatan kerja itu memberi peluang UMK meneroka lebih banyak kerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi dan industri yang berpotensi untuk masa depan.
“SUC merupakan antara universiti tertua di Dubai yang turut menjalinkan kolaboratif dengan tujuh universiti di Malaysia," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.
Turut hadir, Dekan Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK), Prof Madya Dr Roslizawati Che Aziz; Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Mohd Fadly Amri Aliaman dan Pengarah Education Malaysia Dubai, Ahmaf Razaly Abdul Rahim.
Menurut beliau lagi, tiga elemen utama yang dibincangkan ialah akademik, penyelidikan dan program mobiliti pelajar serta staf.
“Kerjasama ini juga bertujuan menyahut aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam menyediakan graduan universiti dengan gaji premium,” katanya.
Sementara itu, Roslizawati memaklumkan delegasi UMK berpeluang berbincang dengan pihak Konsulat General Malaysia di Dubai, pihak Pendidikan Malaysia Dubai, Pejabat Tourism Malaysia Dubai serta beberapa rakan industri dalam bidang perhotelan dan pelancongan.
Tambah beliau, lawatan kerja itu juga untuk mencari potensi peluang kepada pelajar FHPK khasnya untuk mengikut 'International Apprenticeship Programme 2024' dalam tempoh empat hingga 12 bulan di Dubai.
“Beberapa potensi hotel telah dikenal pasti untuk menempatkan pelajar bagi program tersebut antaranya Sheraton Grand Hotel dan Double Tree Hilton Dubai.
“Insya-ALLAH, dengan kerjasama ini akan membuka lebih banyak ruang kepada staf dan pelajar untuk mengikuti program sedemikian,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!