Gara-gara bertaruh, Itali gantung Tonali 10 bulan

Sandro Tonali
Sandro Tonali
A
A
A

PERSEKUTUAN Bola Sepak Itali (FIGC) mengenakan penggantungan 10 bulan terhadap pemain tengah, Sandro Tonali selepas bintang Newcastle United itu didapati bertaruh bagi perlawanan membabitkan bekas kelabnya, AC Milan.

Tonali sebelum itu dikenakan penggantungan 18 bulan, bagaimanapun lapan daripadanya ditukar kepada sesi rawatan alternatif selepas persetujuan bersama dengan Pejabat Pendakwa Persekutuan.

FIGC juga mengesahkan akan mengetepikan Tonali untuk baki saingan musim kelab, dan kejuaraan Euro 2024 tahun depan sekiranya Itali layak ke temasya terbesar benua Eropah itu

Pemain itu juga dikenakan denda 20,000 euro selepas melanggar peraturan yang melarang pertaruhan dalam kejuaraan anjuran FIGC, Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Selain itu, Tonali yang menyertai Newcastle dari AC Milan tahun ini juga perlu mengambil bahagian dalam pelan terapeutik selama lapan bulan sebagai sebahagian perjanjian dengan FIGC.

Ini termasuk menghadirkan diri dalam 16 mesyuarat awam bersama persatuan sukan amatur dan pusat pemulihan penagih judi di Itali.

Sementara itu, Presiden FIGC, Gabriele Gravina mempertahankan sistem tawar-menawar yang digunakan dalam mengendalikan kes sedemikian.

Jelasnya, pendekatan itu secara tidak langsung mengurangkan penalti lebih berat yang boleh dikenakan terhadap pemain.

Artikel Berkaitan:

"Peraturan menetapkan beberapa tahun sekatan, rundingan pengakuan dibenarkan begitu juga keadaan mengurangkan hukuman.

"Dia sangat bekerjasama membolehkan kami terus mematuhi peraturan seperti yang ditetapkan sebelum ini," katanya.

Tonali berusia 23 tahun itu adalah pemain profil tertinggi terlibat dalam skandal pertaruhan yang menggegarkan bola sepak Itali dengan ejennya mendakwa dia mengalami ketagihan judi.

Sebagai rekod, Tonali membuat penampilan sebagai pemain gantian semasa Newcastle United tewas 0-1 kepada Borussia Dortmund dalam aksi kumpulan Liga Juara-Juara di Stadium St James' Park pada Khamis.

Pihak berkuasa undang-undang dan sukan Itali giat menyiasat penggunaan platform pertaruhan haram oleh pemain bola sepak di negara itu.

Pemain tengah Juventus, Nicolo Fagioli sebelum ini dikenakan penggantungan tujuh bulan sebagai sebahagian daripada penyelesaian dengan FIGC selepas mengakui masalah perjudian.

Zaniolo dan Tonali meninggalkan skuad Itali sebelum kelayakan Euro 2024 bulan ini selepas diberitahu mengenai penglibatan mereka dalam siasatan oleh pendakwa raya Turin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!